•  Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
1 / 1
SHAH ALAM –  Pemuda Pas hari ini menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan dekan Institut Peradaban dan Pemikiran Islam Antabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berhubung kenyataannya mengenai kegopohan Kelantan dan Terengganu melaksanakan hukum hudud .
 
Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat, pertemuan tersebut diadakan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan pandangan Mahmood Zuhdi yang juga merupakan ahli akademik pengajian Islam mengenai hukum hudud.
 
“Saya sebagai orang muda dalam Pas sangat berminat untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada beliau.
 
“Kami ingin berjumpa dengannya untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan hukum tersebut,” jelasnya.
 
Baru-baru ini, Mahmood Zuhdi menggesa Selangor agar menjauhi sikap terburu-buru dan tidak cermat kerajaan Kelantan dan kerajaan Pas Terengganu suatu masa dahulu yang dianggapnya 'gelojoh' dalam melaksanakan hudud.
 
Dalam kenyataan beliau yang dipetik melalui sebuah portal pada 6 November lalu, beliau turut mendakwa  pelaksanaan undang-undang Kanun Jenayah Syariah itu tetap akan gagal walaupun jika Pas dan Umno bersepakat untuk melaksanakannya.
 
"Kalau kita laksana hudud di Kelantan dan Terengganu, sekiranya kerajaan Umno dan Pas laksana hudud berasaskan draf di Kelantan dan Terengganu, insya-Allah gagal. Saya nak kata kalau nak laksanakan hudud, mulakan satu-satu. Jangan gelojoh macam Kelantan dan Terengganu.
 
"Kitab yang digunakan di Kelantan adalah berdasarkan kitab lama.Yang ada (hudud) di Kelantan dan Terengganu berdasarkan fiqh beratus tahun dahulu. Realiti semasa, kita terbitkan semula hudud dalam wajah yang berseri dan bukan dalam wajah yang bengis.Daripada segi fiqh, saya cadangkan kepada universiti supaya mewujudkan fiqh-fiqh baru yang realitinya berasaskan Malaysia," katanya.