• Mohamed Azmin (kiri) menerima cenderahati daripada Unisel semalam. Mohamed Azmin (kiri) menerima cenderahati daripada Unisel semalam.
1 / 1
BESTARI JAYA - Kerajaan negeri memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri khas untuk mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) berjumlah RM12 juta sebagai bantuan  sebelum mendapat pembiayaan pendidikan seperti pinjaman PTPTN.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, mulai 2015  pula sebanyak RM10 juta diperuntukkan setiap tahun melalui Tabung Biasiswa Pelajaran khusus kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, RM10 juta lagi menerusi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor sebagai memberikan kemudahan pinjaman boleh ubah (convertible loans) kepada pelajar cemerlang di negeri ini.

“Saya komited menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri dan cukup memahami keperluan kewangan yang diperlukan untuk membiayai pendidikan anak-anak dari desa dan keluarga berpendapatan rendah.

“Bagi membudayakan tradisi keilmuan di kalangan masyarakat, sebanyak RM60 juta bagi tujuan membaik pulih asrama Unisel dan sistem pembetungan di Kampus Bestari Jaya bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif.

“Bagi tujuan pembangunan ICT, satu peruntukan khas berjumlah RM2.65 juta turut diluluskan bagi menaiktaraf sistem rangkaian komputer,” katanya ketika berucap di Istiadat Konvokesyen Ke-9 Unisel di sini, semalam.

Sehubungan itu katanya, program Hadiah Anak Masuk Universiti di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sebelum ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM8 juta khusus kepada pelajar Sarjana Muda dan Diploma dari keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Jelasnya, melalui program itu mereka yang berkelayakan akan menerima RM1,000 selepas mendaftarkan diri untuk tahun pertama di Unisel.

Mohamed Azmin berkata, belia yakin Unisel perlu menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pembentukan masyarakat yang adil menjadikan universiti terulung dunia lain yang mempunyai falsafah pembangunan jelas untuk direalisasikan.

Sebagai contoh katanya,  Universiti Stanford memilih kebebasan sebagai teras kepada falsafah membuktikan bahawa komitmen berkenaan berjaya menjadikan ia antara terulung di dunia.

Seramai 2,691 graduan menerima ijazah dan diploma disempurnakan Canselor Unisel, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda bagi sidang pertama Istiadat ke-9, semalam.

Penerima Ijazah Anumerta Doktor Kehormat dianugerah kepada Allahyarham Zainon Ahmad merupakan wartawan veteran lebih dikenali sebagai Pak Non di atas sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan.

Zainon merupakan wartawan yang disegani dan dihormati kembali ke rahmatullah pada Mac tahun lalu dan penerimaan anugerah diwakili anak perempuan sulungnya, Zalinda, 48.

Tidak ketinggalan penerima biasiswa Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Haikal Abd Jalil merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan.