• Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang melambai tangan kepada media dan penyokong-penyokongnya ketika meninggalkan Istana Kehakiman. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang melambai tangan kepada media dan penyokong-penyokongnya ketika meninggalkan Istana Kehakiman. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
1 / 1
PUTRAJAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat memenangi rayuan kes liwat beliau dalam keputusan penentuan yang dijangka diumumkan Khamis ini.

Beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan hujah peguam pendakwa yang didakwanya berunsur politik.

"Kalau dengar hujah peguam saya dan peguam Umno, kita boleh menang. Jadi, Khamis ini kita akan perkuatkan lagi hujah kita.

"Saya nak beritahu, ini perbicaraan jenayah tetapi peguam Umno beri hujah politik. Hujah mereka dah habis jadi saya minta peguam kita untuk tegas sikit," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 700 penyokongnya di pekarangan Mahkamah Persekutuan selepas prosiding ditangguhkan petang tadi.

Anwar turut ditemani isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada penyokongnya yang setia menunggu semenjak prosiding bermula 28 Oktober lalu.

"Anda semua yang memberi kekuatan kepada saya. Sebab itu saya yakin kita akan peroleh kemenangan kerana kita berpaksi kepada kebenaran.

"Kita ikhtiar dengan hujah peguam yang handal dan berhimpun di sini. Tapi kita harus  munajat, baca Yasin, sembahyang hajat dan serahkan kepada ALLAH SWT," katanya.

Anwar juga sempat berseloroh mengenai tindakan jurugambar yang mengerumuni beliau sehingga menghalang penyokong.

"Jurugambar boleh ambil gambar tapi kalau boleh bagi saya salam dengan penyokong. Mungkin jurugambar risau tak ada gambar saya kalau saya masuk dalam (penjara).

"Insya-ALLAH tak masuk dalam," katanya.