• Suhaizan (dua kanan) sedang mendengar penerangan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas, Salleh Embong, di rumahnya, semalam.  
  • Suhaizan (dua kanan) sedang mendengar penerangan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas, Salleh Embong, di rumahnya, semalam.
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat menyifatkan keputusan berhubung kedudukan presiden adalah hak parti.

Sehubungan itu, beliau meminta perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Pas tanpa campur tangan pihak lain, kerana pihaknya mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan hala tuju dan kepimpinan parti pada masa depan.

“Dari segi keputusan itu, parti yang menentukan. Biar serah kepada partilah. Walaupun pihak lain boleh beri pandangan, tetapi hak itu hak parti yang menentukan. Terserah kepada pemimpin parti dan ahli-ahli parti,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas, Salleh Embong, di sini, semalam.

Sebelum ini, kedengaran desas-desus mengatakan Abdul Hadi sedang dipujuk rakan-rakannya untuk berundur sebagai Presiden Pas bagi memastikan kelangsungan Pas dalam PR, selain masalah kesihatan yang dihidapinya.

Pas dikatakan boleh memperbaiki hubungan dengan rakan-rakan pakatannya jika Abdul Hadi rela berundur memandangkan hubungan dalam PR tegang ekoran sikap Abdul Hadi yang dikatakan dingin terhadap PKR dan DAP.

Suhaizan bagaimanapun memberitahu, mana-mana pihak bebas memberi pandangan tetapi menegaskan, ia bukannya hak mereka untuk menentukan kedudukan Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Suhaizan memberitahu bahawa kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan untuk meneruskan kesinambungan parti itu dalam persada politik tanah air walaupun berdepan cabaran dan kritikan hebat bukan sahaja dari musuh parti, malah rakan-rakan parti sendiri.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan di bawah kepimpinan Abdul Hadi sehingga Pas berada di kedudukan tersendiri dan berjaya menggerakkan parti bertapak lebih jauh termasuk menjalinkan kerjasama politik bersama PKR dan DAP.

“Pada saya kepimpinan presiden diperlukan untuk membantu menggerakkan parti ke depan dan usaha-usaha dibuat banyak lagi untuk gerakkan parti dan berjaya untuk meningkatkan kemampuan parti kepada persada nasional,” katanya.