• Imran Imran
1 / 1
PASIR PUTEH - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) hanya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan tetap menyokong perjuangan Pas serta parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ketua PasMa Pasir Puteh, Imran Mamat menjelaskan, PasMa bukan sebuah parti politik dan tidak sama sekali mengancam perjuangan PR, khususnya Pas sepertimana tanggapan sesetengah pihak.

Katanya, PasMa ditubuhkan pada Ogos lalu selepas khuatir dengan krisis Menteri Besar Selangor kerana ia dilihat boleh merosakkan perpaduan dalam PR yang dipupuk sejak sekian lama.

"Ada pihak memberi pandangan sinis dengan mengatakan PasMa adalah parti serpihan Pas seperti Hamim, Berjasa dan Akim, sedangkan senarionya berbeza kerana pada asasnya kita lahir sebagai NGO yang tetap menyokong perjuangan PR.

"Pasma yang dianggotai masyarakat daripada pelbagai latar belakang akan menjadi tonggak kepada perpaduan rakyat," katanya ketka ditemui pada program Suro Mahabah PR Bersama NGO PasMa dan Royalti (R) di perkarangan pejabat PKR Cabang Pasir Puteh, di sini semalam.

Membawa slogan 'Terus Istiqamah Teguhkan Pakatan', program berkenaan membabitkan aktiviti gotong-royong memasak lapan kawah bubur asyura dan dua daripadanya disumbangkan oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamed.

Ketua Cabang PKR, Ismail Mohamad ketika ditemui berkata, program tersebut mendapat kerjasama baik daripada Pas dan PKR, membuktikan hubungan dua parti berkenaan dengan PasMa serta R tidak terjejas.

Menurutnya, kesepakatan yang dibina harus menjadi contoh kepada daerah lain di seluruh negara kerana ia memberi kekuatan kepada PR untuk meneruskan agenda politik dalam PRU-14 nanti.

"Persefahaman ini akan menutup ruang kepada pihak lawan yang sentiasa menunggu peluang memecahbelahkan PR demi mengutip keuntungan politik," katanya.

Pendapat itu disokong Pengerusi R Pasir Puteh, Zarir Yaakob yang bersyukur krisis melanda PR dapat ditangani dengan baik.