• Kassim Ahmad Kassim Ahmad
1 / 1
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad untuk mendapatkan semakan semula kehakiman  bagi mencabar keputusan pendakwa menangkap dan mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah, Putrajaya.

Peguam, Andy Tan yang mewakili Kassim memaklumkan tarikh itu kepada pemberita selepas kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar N. Arun.

Andy memberitahu bahawa permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim, Datuk Asmabi Mohamad.

Pada 24 Julai lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kassim untuk memulakan prosiding semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan menangkap dan  mendakwanya di Mahkamah Syariah dengan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu.

Pada 14 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kassim untuk mendapatkan kebenaran memohon semakan semula kehakiman itu dengan memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar
permohonan itu dan perkara tersebut juga terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Kassim untuk mendapatkan kebenaran berbuat demikian.

Kassim, 81, memfailkan permohonan pada 26 Jun lalu, antara lain, bagi menuntut satu writ perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac mendakwanya kerana menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa.

Beliau juga memohon agar prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah, Putrajaya digantung sementara menunggu keputusan semakan semula kehakiman.

Kassim juga memohon perintah untuk mengetepikan tindakan dan keputusan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang dituduh menyerbu, menggeledah dan merampas bahan penulisannya dan memeriksa, menahan serta memindahkan beliau dari Kedah ke Wilayah Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah untuk mengetepikan semua waran tangkap, menggeledah dan merampas serta bon bersertanya, perisytiharan bahawa tindakan para pegawai Jawi dan pendakwa terhadapnya adalah ultra vires. - Bernama