• Laporan Sinar Harian semalam. Laporan Sinar Harian semalam.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Hukuman ringan dikenakan selama ini terhadap kakitangan kerajaan yang melakukan kesalahan berat antara punca prestasi jabatan kerajaan semakin teruk.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, hukuman lebih berat seperti diberhentikan kerja antara cara untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Seperti (kali) Laporan (Ketua) Audit (Negara dibentangkan), setiap tahun ada laporan mengenainya dan merekodkan beberapa kesalahan pegawai kerajaan, namun ia tetap berulang.

“Ini kerana laporan tersebut seakan tidak pernah dipedulikan. Justeru pesalah terlibat melakukan kesalahan sama. Sepatutnya mereka ini terus dibuang kerja untuk memberi pengajaran,” katanya kepada media selepas merasmikan buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia tulisan Dr Muhammed Abdul Khalid, semalam.

Daim berkata, tindakan membuang kerja itu akan dapat mendisiplinkan kakitangan dalam agensi kerajaan daripada melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

“Misalnya didapati pegawai mencuri wang kerajaan, maka jangan terus disimpan. Tendang terus. Amaran juga jangan digunakan kerana ia pasti akan berulang,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Daim berkata, beliau menyokong langkah kerajaan memperkenalkan cukai itu.

“Cadangan tersebut pernah saya utarakan pada 1984 kepada kerajaan untuk dilaksanakan, namun ketika itu kerajaan masih mahu mengkajinya terlebih dahulu.

“Kebaikan GST ini, ia dapat meningkatkan pendapatan negara dan mengelak negara berhutang apabila kekurangan pendapatan,” katanya.