• Gopal Sri Ram Gopal Sri Ram
1 / 1
PUTRAJAYA - Permaidani yang disita oleh polis dalam dakwaan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak menunjukkan sebarang bukti berlakunya kes liwat.

Ketua pembelaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya berkata, permaidani sutera dari China itu diambil oleh pegawai forensik polis, Superintendan Amidon Anan di unit kondominium bernombor 11-5-2 bukannya unit kondominium yang didakwa berlakunya insiden itu.

"Mohd Saiful Bukhari pada keterangannya memberitahu dia didakwa diliwat dengan mengambil posisi di atas permaidani pada jam 3.30 petang di unit 11-5-1 pada 26 Jun 2008," katanya.

Menurutnya, bagi mensabitkan kejadian itu benar- benar berlaku, permaidani tersebut haruslah ditemui di dalam unit kondominium yang betul.

"Paling tidak pun, terdapat bukti ia dipindahkan dari unit 11-5-1 ke 11-5-2, bagaimana pun kedua- dua unit itu tidak bersambung," katanya.

Dalam nada bergurau, Gopal berkata, permaidani itu tidak mungkin diterbangkan.

"Saya tidak percaya kepada permaidani terbang," katanya yang membuatkan hadirin ketawa.

Beliau berkata, dengan percanggahan fakta penting itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes terhadap Anwar.

Menjawab isu alibi yang dikemukan oleh pendakwaan, Bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan itu memberitahu pemilik unit kondominium 11-5-2, Hasanuddin tidak dipanggil kerana dia telah diganggu.

"Hasanuddin yang tersenarai dalam saksi pembelaan tidak boleh memberi keterangan kerana dia diganggu," katanya.

Gopal turut menyanggah isu yang dibangkitkan oleh pendakwaan terhadap Dr Mohd Osman Abdul Hamid dengan mengemukakan bahawa doktor perubatan warga Myammar itu tidak mempunyai sebarang motif dalam kes ini.

"Beliau diundang oleh Hospital Pusrawi untuk memberi perkhidmatan perubatan di negara ini dan pulang apabila kontraknya tamat," katanya.

Perbicaraan rayuan terakhir kes liwat II itu didengari di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria memasuki hari ketujuh hari ini ditangguhkan pada jam 7.15 malam dan akan disambung petang esok.

Empat korum hakim adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.