• 'Ada orang mahu pecahbelahkan Pas' Dzulkefly ketika dirawat di sebuah klinik di Shah Alam.
1 / 1
PUTRAJAYA - Pemuda Pas percaya kejadian pukul yang berlaku ke atas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, bermotif untuk memecahbelahkan parti.
 
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, perbuatan itu adalah jenayah pukul yang pertama kali berlaku melibatkan pemimpin Pas. 
 
“Dalam suasana hari ini (pelbagai konflik), ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk menajamkan jurang perbezaan tersebut.
 
“Saya rasa kecewa apabila kejadian  keganasan ini berlaku kepada individu tertentu yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang aman selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Suhaizan berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian tersebut setelah diberitahu rakan lain seterusnya menghubungi Dr Dzulkefly untuk mengetahui kejadian sebenar.
 
“Ketika saya hubunginya, dia baru mahu bergerak untuk menerima rawatan di klinik berhampiran. Dr Dzulkefly menceritakan bagaimana kejadian berlaku apabila beliau pulang dari masjid selepas solat Subuh.
 
“Ketika mahu keluar kereta dari garaj rumahnya di Seksyen 7 Shah Alam, datang dua lelaki yang dipercayai Melayu, bertopi keledar menaiki sebuah motosikal menghampirinya dan terus menumbuk mukanya serta memukul dahinya menggunakan sebatang kayu hingga lebam di dahi,” katanya.
 
Justeru, Suhaizan meminta agar pihak polis segera menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut agar penjenayah dikenakan tindakan setimpal.