• Altantuya Shaariibuu Altantuya Shaariibuu
1 / 1


SHAH ALAM - ‎Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Tun Razak hari ini tampil mengulas kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shaaribu, setelah sekian lama dikaitkan dengan isu berkenaan.

Menurutnya, kes tersebut telah selesai dibicarakan dan mahkamah‎ telah memutuskan dan sepatutnya kes tersebut tidak dibangkitkan lagi.


Malah beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang 'mendengar' cerita daripada salah seorang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar, yang telah disabitkan bersalah membunuh Altantuya.


"Kes ini telah disiasat, dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Ia kes sembilan tahun yang tiada kesudahan apabila asyik 'dikitar' semula oleh pembangkang.


Malah Najib turut mendakwa pembangkang telah memfitnahnya termasuk mengedit gambar Altantuya makan malam bersamanya.

‎"Dalam politik, banyak isu kerap dimainkan dan ini salah satunya. Sebab dua 'bodyguard' itu pernah bekerja dengan saya dan Razak Baginda kawan saya, mereka cuba kaitkan saya. Razak Baginda telah mengakui mempunyai hubungan dengan Altantuya tapi saya tak tahu tentang itu.


"Pakatan (PR) dan medianya yang tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya. Malah mereka sampai 'superimpose' gambar saya makan malam dengan mangsa di restoran," katanya.


Sirul dan Azilah disabitkan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator itu di antara jam 10 malam (19 Oktober 2006) dan 1 pagi (20 Oktober 2006) di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang.


Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang pada awalnya didakwa bersubahat telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.