• pkr
1 / 1
BUTTERWORTH - Lebih 300 orang ahli dan penyokong PKR di Taman Siakap di sini, hari ini menyatakan sokongan mereka kepada BN setelah kecewa dengan kegagalan wakil rakyat parti itu membela nasib mereka.
  
Mereka turut mengumumkan menyertai Malaysian Indian United Party (MIUP), sebuah parti mesra BN dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presidennya Datuk Seri S. Nalakaruppan.
  
Bekas anggota jawatankuasa PKR Taman Siakap S. Muniswaran, 33, yang menjadi ahli PKR selama 17 tahun berkata tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan terhadap sumbangan parti itu kepada penduduk Taman Siakap terutama masyarakat India.
  
Katanya pelbagai bantuan yang dipohon tidak pernah diperoleh dan berpendapat tidak perlu berharap kepada PKR lagi.
  
"Masa minta undi (pilihan raya) mereka datang, lepas tu dah tak nampak muka lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keahlian MIUP di sini, malam ini.
  
S. Saroja, 42, berkata beliau turut kecewa dengan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan PR yang gagal membantu masyarakat India di negeri ini.
  
"Mungkin 100 orang sahaja yang dapat manfaat. Masih ramai yang terpinggir. Keadaan makin teruk sejak dua tahun lepas," katanya.
  
Bagi R. Selvakumar, 48, beliau sudah banyak kali meminta bantuan untuk aktiviti dan kebajikan taman itu daripada pemimpin-pemimpin PKR termasuk wakil rakyat kawasan itu tetapi tiada respons yang diberikan.
  
" Banyak perkara yang perlu diberikan perhatian seperti masalah kebajikan, ibu tunggal, orang muda tiada pekerjaan, tidak dapat menyambung pelajaran, kalau dapat sambung pelajaran ada masalah kewangan pula," katanya.
  
Sementara itu, Nalakaruppan berkata PKR menguasai kawasan Parlimen Permatang Pauh termasuk Taman Siakap selama 17 tahun tetapi penduduk di kawasan itu tidak merasakan mereka menerima manfaaat daripada wakil rakyat mereka.
  
" Kerana itu mereka kini menyatakan sokongan dan mahu mengundi BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini. Apabila mereka mahu menyertai parti kami, saya tiada masalah kerana kami juga menyokong BN," katanya.
  
Pilihan raya kecil itu pada Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas). -Bernama