• Menjelang undi, bahan kempen pula kena sabotaj Poster besar BN dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Kubang Semang
1 / 1
PERMATANG PAUH - Kempen PRK Permatang Pauh hampir ke penghujungnya dan semua parti bertanding dilihat memperhebatkan gerak kerja bagi menambat hati pengundi.

Tinjauan mendapati suasana kempen semakin meriah dengan ribuan bendera, kain rentang dan poster parti yang bertanding dipasang di segenap kawasan ini.

Namun dalam tempoh kempen berbaki 24 jam, ada pihak cuba melakukan sabotaj dengan merosakkan bahan kempen selain berlaku beberapa provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan.

Ketika melalui kawasan Kubang Semang, Sinar Harian mendapati beberapa papan poster yang dipasang oleh BN dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kelihatan jelas papan poster dikoyak dan bukan rosak disebabkan angin kencang yang berlaku baru-baru ini.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow  berkata, skuad pemantau BN yang membuat tinjauan mendapati banyak lagi poster dan kain rentang dirosakkan, malah bendera dicabut pihak tidak bertanggungjawab.

Malah menurutnya, kontraktor yang dilantik untuk memasang poster pernah dihalang petugas parti lawan dan dihalau ketika memasang poster di tepi jalan.

“Saya ingatkan mereka supaya jangan langgar undang-undang kerana kami mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan untuk memasang semua bahan kempen.

“Kami tidak kisah jika mereka mahu memasang poster yang mencela kami, namun jangan cuba lakukan provokasi dengan menghalang kontraktor kami memasang bendera, kain rentang dan poster,” katanya.

Menurutnya, BN sudah membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa meningkatkan rondaan bagi memastikan tiada lagi sabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.