• Permatang Pauh umpama 'baldi tanpa perigi' Abdul Azeez ketika menyampaikan ucapan malam tadi. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PERMATANG PAUH - BN optimis jumlah keluar mengundi boleh mencecah sehingga 75 peratus khususnya pengundi yang berada di luar kawasan pada PRK Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau yakin masih ramai penyokong BN akan balik mengundi walaupun berada jauh dari Permatang Pauh.

"Saya percaya mereka dahagakan perubahan, mereka dahagakan pembelaan, justeru saya percaya jumlah keluar mengundi lebih dari 75 peratus," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan 1000 pengundi India di Pusat Operasi BN, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Azeez menyifatkan kawasan Permatang Pauh yang ketandusan pembangunan ekonomi bagaikan baldi tanpa perigi.

"Mereka (PKR) ada baldi, tapi tiada perigi, tak mungkin dia boleh ambil air itu, perigi itu BN lah...bila ahli parlimen daripada kalangan BN, sudah semestinya ada peruntukan.

"Peruntukan itu bolehlah mereka menimba untuk melaksanakan pembangunan dari sekolah India dan sebagainya untuk masyarakat India," jelasnya.

Kelebihan Abdul Azeez yang boleh berbahasa Tamil juga dilihat dapat membantu kempen calon BN, Suhaimi Shabudin untuk merai undi di saat akhir.

"Saya bukan macam pemimpin MIC atau keturunan India dalam parti mereka, saya bercakap atas nama Umno, saya menjelaskan bahawa saya adalah pemimpin Umno.

"Tetapi jelas wajah saya mirip mereka, jadi sudah jadi kewajipan saya, apatah lagi saya boleh berbahasa ibunda," ujarnya.

Dalam ucapan hampir 30 minit itu, Abdul Azeez tidak menggunakan pendekatan menghentam dan menyerang peribadi mana-mana pihak termasuk calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya tidak menyerang...tidak menghasut atau bantai peribadi, serangan peribadi terhadap mana-mana individu tidak sama sekali.

"Saya cerita kerja-kerja kebajikan yang bakal saya lakukan, setelah 17 tahun masih lagi ramai masyarakat rakyat di Permatang Pauh ini tidak dibela," katanya lagi.