• Kes Sosilawati: Peguam mahu sepina 3 timbalan Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan ke 10 Ogos ini untuk mendengar rayuan empat lelaki dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain selepas seorang peguam menarik diri daripada mewakili seorang daripada tertuduh.

 

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dijadual mendengar rayuan itu selama lima hari bermula hari ini.

 

Bagaimanapun, pendengaran ditangguhkan selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah yang beliau menarik diri daripada mewakili tertuduh keempat R. Kathavarayan susulan surat dan laporan polis dibuat oleh tertuduh (Kathavarayan).

 

Peguam itu berkata  Kathavarayan telah membuat laporan polis bertarikh 20 April tahun ini menyatakan dia tidak mahu beliau (Hisyam) mewakilinya atas alasan kepentingannya akan terjejas.

 

Kathavarayan juga menyatakan dalam laporan itu yang dia mahukan peguam bangsa India yang fasih bahasa Tamil mewakilinya untuk memudahkannya berkomunikasi dengan peguam itu.

 

Menjawab dakwaan Kathavarayan itu, Hisyam berkata alasan diberikan Kathavarayan dalam laporan polis itu tidak betul dan menurutnya beliau telah melakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan tertuduh.

 

Hakim Aziah berkata, sebagai langkah awal, beliau terlebih dahulu telah meminta pendaftar mahkamah mendapatkan peguam bela seperti diminta Kathavarayan dan telah melantik M. Stanislaus Vethanayagam sebagai peguam yang dilantik mahkamah untuk mewakili tertuduh.

 

Beliau kemudian bertanya kepada Kathavarayan sama ada bersetuju diwakili  Stanislaus dan tertuduh bersetuju.

 

Hakim Aziah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam kemudiannya membenarkan permohonan  Hisyam untuk menarik diri.

 

Bagaimanapun, mahkamah tidak dapat meneruskan prosiding pendengaran itu selepas Stanislaus memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya yang bercakap dengannya sebelum bermulanya prosiding hari ini, mahu beliau mengemukakan hujahan baharu dan tidak menggunakan hujahan yang telah disediakan Hisyam.

 

Hakim Aziah yang membenarkan permintaan itu kemudian menetapkan enam hari iaitu 10-13 Ogos dan 17-18 Ogos bagi pendengaran dan mengarahkan Stanislaus mengemukakan hujahan bertulis menjelang 1 Julai.

 

Bekas peguam N. Pathmanabhan, 45, dan tiga pekerja ladang  T.Thilaiyalagan, 23, R.Matan, 24 dan Kathavarayan dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan membunuh  Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

 

Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei, 2013, melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

 

Pathmanabhan diwakili peguam Manjit Singh, Thilaiyalagan oleh peguam Gurbachan Singh dan Matan oleh peguam Amer Hamzah Arshad manakala pihak pendakwaan diwakili lima timbalan pendakwa raya diketuai Ishak Mohd Yusoff.  – Bernama