SHAH ALAM – Pasukan Petugas Khas kini membekukan enam akaun bank pihak-pihak yang terlibat dengan isu dakwaan penyaluran dana badan pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama tiga yang lain berkata, langkah tersebut dibuat bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
 
“Perintah pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah pun dikeluarkan pada 6 Julai 2015,” katanya menerusi satu kenyataan media bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, hari ini.
 
Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Petugas Khas turut merampas dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.
 
“Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.
 
“… siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan,” katanya lagi.
 
Wall Street Journal dan Sarawak Report sebelum ini melaporkan sejumlah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai jutaan dolar Amerika telah disalurkan ke akaun peribadi Najib, namun perkara itu telah disangkal oleh 1MDB.