KUALA LUMPUR - Bekas ahli Pas, Datuk Husam Musa mengakui masih belum 'dirisik' oleh parti politik lain sehingga kini.

Menurut Husam, parti politik lain mungkin masih menghormati tempoh pemecatannya daripada Pas.

‎"Setakat ini, saya masih belum 'dipinang' oleh parti politik lain. Mungkin mereka masih hormati tempoh idah saya," ujarnya dalam program Dialog Bersama Husam Musa di sini, hari ini.

Meskipun bukan lagi ahli Pas, Husam bagaimanapun mengaku masih menyayangi parti Islam itu.

"Sayang itu memang kita sayang (kepada Pas). Macam kita sayang suami, isteri kita. Bila mereka meninggal, tentulah kita terlalu sedih. Kita diberi tempoh idah selama 40 hari.

"Selepas tempoh tersebut, kita masih‎ bersedih, tetapi kita tetap perlu teruskan hidup. Kita masih ziarah kubur dia setiap hari Jumaat, setiap kali raya. Tetapi kalau ada yang 'pinang', kita akan kahwin," katanya.