IPOH - Pas Perak telah menyerahkan lima nama untuk dipertimbangkan oleh Pas Pusat bagi menjadi calon dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, keputusan akhir pemilihan calon itu akan tertakluk di bawah bidang kuasa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan AJK Pas Pusat.

"Lima orang senarai calon itu telah pun kita hantar kepada Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini.

"Keputusan untuk hantar lima nama itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada pimpinan parti di peringkat kawasan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Pas Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Pas Negeri, Mohamad Zawawi Abu Hassan dan AJK Pas Perak, Tarmizi Abd Rahman.

Menurutnya, Pas tetap akan bertanding meskipun ada pihak yang berpandangan akan berlaku pertembungan tiga penjuru di PRK tersebut.

"Secara tradisinya, di situ memang kerusi kita sejak permulaan pilihan raya di Perak. Pas Pusat juga telah menetapkan kita akan bertanding walaupun berlaku tiga penjuru, empat penjuru atau sepuluh penjuru sekalipun," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan perpecahan undi akan berlaku jika Pakatan Harapan membuat keputusan bertanding di Parlimen tersebut.

"Hakikat yang boleh kita kata, jika mereka masuk bertanding, ia akan membuatkan kerja BN lebih mudah untuk mencapai kemenangan," katanya.

Ditanya tentang peluang Pas memenangi PRK itu, Razman yang juga Yang Dipertua (YDP) Pas Lenggong menganggap keputusan berkenaan bergantung kepada undian yang akan diberikan orang Melayu dan golongan atas pagar.

"Pas ada pengundi setia dan kita juga dapat lihat peningkatan sokongan orang Melayu sejak bersendirian. Apa yang diharapkan adalah kita dapat tarik undi daripada golongan atas pagar.

"Dengan situasi terkini (negara), rasanya, ramai golongan atas pagar hatta orang Umno sendiri pun mahukan perubahan," katanya.