Anwar-Najib
Anwar-Najib
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menyahut cabarannya untuk berdebat walaupun telah dipelawa beberapa kali sejak lebih setahun lalu.

"Mahu debat atau tidak?" soal Anwar ketika ditemui selepas majlis Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.


Beliau sekali lagi mencabar Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), agar mengadakan debat secara umum sebagai hadiah Perdana Menteri kepada rakyat.


"Jika benar debat bukan budaya kita, mengapa diterapkan budaya debat dan pertandingan debat di sekolah," ujar beliau dengan sinis.


Laporan media Jumaat lalu memetik Najib berkata, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.


"Kita tengok keadaan. Kalau perlu debat antara pemimpin, perlulah ada debat. Tapi ia bukan budaya politik secara menyeluruh dalam sistem kita.


"Yang penting sekali rakyat ada maklumat secukupnya (dalam) membuat pilihan," katanya.


Najib seterusnya dilaporkan berkata, "kita beri peluang parti-parti politik untuk menyiarkan manifesto masing-masing bila sampai pada masanya."


Najib juga berkata, rakyat ada maklumat secukupnya untuk membuat keputusan.


"Saya tak kata apa. Saya kata itu bukan... yang penting sekarang ini rakyat ada maklumat secukupnya untuk membuat keputusan sama ada agenda kita lebih baik atau pembangkang,"  kata beliau menjawab soalan mengenai pelawaan Anwar agar beliau berdebat dengannya.


Pelawaan itu muncul semula selepas siri debat membabitkan pemimpin-pemimpin politik sejak kebelakangan ini.


Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub membicarakan isu demonstrasi dan demokrasi dalam Debat Sinar minggu lalu.


Bulan lalu, Debat Sinar menemukan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Dalam ulasannya, Anwar menambah bahawa budaya debat sudah lama menjadi satu fenomena yang tidak asing lagi di sekolah dan jika benar ia bukan budaya, "mengapa perlu diteruskan?"


"Anak-anak kita diajar berdebat di sekolah, terapkan budaya ini sejak di bangku sekolah lagi, jadi mengapa berkata ia bukan budaya kita?" tambah Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) ini.


Tambah Anwar, rakyat kini semakin bijak bagi menilai dan menangani isu-isu umun seperti ini.


Justeru, katanya, kebebasan bersuara harus diberikan kepada rakyat kerana ianya merupakan hak rakyat.