Pemuda Pas minta Shamsul jangan berlagak hero depan perwakilan
27 Mei 2013
SHAH ALAM - "Jangan berlagak hero depan perwakilan PKR dengan mencela presiden kami!"
Demikian tegas dan keras kenyataan Bendahari Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin terhadap Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Puncanya, Shamsul dalam ucapan di Kongres PKR kelmarin secara lantang
telah mengkritik pimpinan Pas terutama presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang atas tindakan mengeluarkan watikah bertanding kepada calon
parti itu yang terbabit isu pertindihan kerusi dengan calon PKR pada
pilihan raya lalu.
Selain itu, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil turut 'menegur'
Abdul Hadi yang kononnya telah mencerca calon parti sekutu Pas
(termasuk PKR) ketika pilihan raya itu.
Khairil Nizam berkata, Shamsul tidak seharusnya membuat kenyataan
seumpama itu kerana beliau sendiri tidak faham makna tahaluf siyasi.
"Jangan jadikan tahaluf siyasi dan peluang menghentam Tuan Guru Abdul
Hadi sebagai modal untuk berlagak hero di depan perwakilan AMK. Jangan
cela Tuan Guru Presiden kami seolah-olah beliau (Abdul Hadi) bercakap
mengikut nafsu ketika mengkritik," tegasnya.
Pemimpin muda Pas itu berkata, Shamsul bercakap seolah-olah tahaluf
siyasi itu datangnya daripada PKR dan beliau pula mahu mengajar Pas
mengenainya sehingga boleh menegur Presiden Pas.
"Jika Shamsul benar-benar 'faqih' (faham) mengenai tahaluf siyasi
hingga berasa dirinya layak untuk menegur pemimpin Pas, saya persilakan
beliau untuk bawa apa saja kajian oleh PKR dari segi usul dan kaedah
fikah atau apa-apa justifikasi yang boleh membuktikan bahawa Pas sudah
melanggar prinsip tahaluf siyasi.
"Saya teringin sangat nak tengok," katanya.
Mengikut Islam, tahaluf siyasi merupakan konsep atau perjanjian oleh
dua pihak atau lebih untuk menjalin kerjasama menghadapi lawan.
Dalam ucapan dasarnya itu, Shamsul secara lantang menegur pimpinan Pas
terutama Abdul Hadi yang dianggap jadi punca PR kalah di kerusi yang
terlibat dengan isu pertindihan calon.
Secara keseluruhan, PR kalah di semua tujuh kerusi berkenaan iaitu tiga
kerusi di Terengganu (Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera), satu
di Selangor (Kota Damansara), satu di Pulau Pinang (Sungai Acheh), satu
di Johor (Panti), serta satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan
(Labuan).
Dalam kenyataannya kemudian, Shamsul menggesa Pas mengambil tindakan
tegas termasuk memecat ahlinya yang melanggar arahan pimpinan parti
dengan bertanding menentang calon PKR.
Bagi Khairil Nizam, Shamsul tidak wajar mengajar Pas apa lagi menegur
presidennya kerana beliau sendiri pun tidak faham makna tahaluf siyasi
dan syarat-syaratnya.
"Saya jemput Shamsul untuk duduk bersama pada bila-bila masa dan di
mana-mana saja untuk kita kaji apa dia tahaluf siyasi dan nilai semula
permasalahan yang timbul sepanjang PRU13 dalam konteks tahaluf siyasi,"
katanya.
Menurutnya, jika melakukan kesilapan, beliau sendiri sedia untuk berdepan dengan media dan mengakui kesilapan itu.
"Soalnya, apakah beliau (Shamsul Iskandar) juga sanggup berbuat
demikian? Atau pun dia cuma baling batu, lepas itu terus lari?" katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment