• Tony Pua 
  •  Tony Pua
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa harga gula melonjak naik bukan kerana isu subsidi tetapi Kerajaan Pusat menandatangani perjanjian beli gula mentah dengan harga tinggi.

Menurutnya, pada Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga AS$25 (RM78.59) setiap 45.36 kg.

"Ekoran perjanjian itu rakyat terpaksa menikmati gula lebih mahal.

"Saya mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan kerana membeli gula mentah dengan harga  lebih mahal dari harga pasaran iaitu AS$23.42 (RM73.62)," katanya di Parlimen, semalam.

Beliau berkata, jika mengambil kira harga gula mentah pasaran antarabangsa ketika ini, iaitu AS$18.91 (RM59.44) setiap 45.36 kg, bukan sahaja kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi malah harga gula akan menjadi lebih murah daripada RM2.84 sekilogram yang ditetapkan.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, perbezaan harga kontrak melebihi 10 peratus daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.

"Saya juga masa itu beri amaran kepada kerajaan bahawa kesemua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan bahawa harga gula akan menurun akibat 'excessive supply'.

"Tetapi perkara itu tidak dihiraukan oleh kerajaan, malah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, menjawab di Parlimen harga gula mentah dunia diramal terus meningkat pada masa depan," katanya.

Tambahnya, sejak Januari 2012, harga gula antarabangsa menjunam sehingga serendah AS$16.70 (RM52.50) setiap 45.36kg pada September 2013.

"Ini bermaksud kerajaan beli gula 55.7 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bulan lalu,"katanya.