• Pas optimis pertahan Dun Sungai Limau Salahuddin (kiri) bersalaman dengan peserta konvensyen selepas merasmikan persidangan, semalam.
1 / 1
IPOH – Pas yakin mampu mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau pada PRK, 4 November depan.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Dun Sungai Limau adalah kubu kuat Pas selepas Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mengekalkannya selama lima penggal berturut-turut.

“Dengan kekuatan yang dibina Allahyarham Azizan, saya rasa Pas berupaya mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau malah kita juga telah tetapkan unjuran menang di kerusi itu dan mengekalkan majoriti sedia ada.

“Namun kita tidak akan memandang mudah dan amat mengharapkan jentera menggerakkan usaha untuk mendekati pengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Sungai Limau pada 4 November, sementara tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober ini.

PRK Dun Sungai Limau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan.

Salahuddin melahirkan keyakinan, bahawa pengundi di Dun Sungai Limau mampu memberi kepercayaan sekali lagi kepada Pas berdasarkan situasi politik semasa.

Katanya, kelemahan pentadbiran BN berikutan isu kenaikan harga minyak dan bebanan kos hidup meningkat menjadi satu faktor yang memberi kelebihan buat Pas.   

“Kita juga memperkemaskan jentera yang akan memberi penerangan dari rumah ke rumah mengenai Bajet 2014  yang membebankan rakyat,” katanya.