• PRK Dun Sg. Limau
1 / 1
YAN - Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau 4 November ini mungkin menyaksikan peralihan undi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).
  
Walaupun pengundi Cina hanya berjumlah 1,842 daripada keseluruhan 27,222 pengundi, tetapi ia amat penting dalam menentukan kemenangan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim di kawasan yang menjadi kubu kuat Pas dalam lima pilihan raya sejak 1995.
  
Maklumat yang disaring daripada temu bual dengan beberapa pengundi Cina menunjukkan masyarakat itu mula melihat bahawa personaliti hebat bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sebenarnya terdapat juga pada diri Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
  
Pengusaha kedai kopi yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 58, secara berterus terang berkata: "Rasa saya BN boleh memenangi kerusi ini berdasarkan kemampuan Menteri Besar sekarang Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dalam menerajui negeri ini."
  
Katanya Mukhriz begitu bertenaga, mempunyai kesungguhan dan merendah diri -  kualiti yang beliau dakwa dimiliki Azizan, bekas Menteri Besar Kedah.
 
Kerusi Dun Sungai Limau kosong berikutan kematian Azizan pada 26 September. Dr Ahmad Sohaimi, 52, bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, akan mewakili BN dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS Mohd Azam Abdul Samat, 37, pengarah rangkaian pusat pendidikan awal kelolaan parti itu, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kedah.
  
Ooi berkata, pilihan raya kecil ini merupakan peluang terakhir bagi masyarakat Cina, terutama generasi muda, untuk memilih calon yang tepat sekiranya mereka ingin menikmati kehidupan yang lebih baik.
  
Mengenai Mukhriz, pengusaha kedai kopi ini berkata "dengan pemikiran dan semangat mudanya, kami percaya beliau akan membawa pembangunan dan peluang kepada belia di Sungai Limau".
  
Katanya, walaupun merupakan sebuah tempat yang tenang dan aman untuk didiami, tetapi kawasan Sungai Limau tidak mempunyai banyak kemudahan untuk belia dan dianggap sebagai 'pekan mati', tanpa wujudnya kompleks sukan dan pusat hiburan.
  
Ramai belia kawasan ini berhijrah ke tempat lain untuk mencari kehidupan lebih baik.

"Tapi, dengan komitmen Mukhriz untuk membawa lebih banyak peluang dan pembangunan ke kawasan ini, kami percaya tibalah masanya BN dipilih untuk menerajui perubahan ke arah masa depan yang lebih cerah," katanya.
  
Peniaga baja yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, pula berkata sebelum ini, masyarakat Cina menyokong Azizan kerana beliau bersifat "mesra dan mengambil berat", tidak seperti pemimpin BN tempatan, yang didakwanya "tidak mesra dan tidak peka tentang masalah kami".
  
Chin, 54, dari Sungai Limau Dalam, yang digelar 'Pekan Cina' di kawasan ini, berkata kebencian mereka tentang sikap tidak mesra para pemimpin masyarakat setempat mendorong masyarakat Cina mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
  
Seorang pesawah yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Keat berkata, masyarakat Cina sedar tentang pelbagai insentif yang disediakan kerajaan untuk memajukan
sektor pertanian di negeri ini.
  
Bagaimanapun, kegagalan pemimpin tempatan ketika itu untuk menjaga kepentingan mereka menyebabkan masyarakat Cina mengundi Azizan, katanya.
  
Ah Keat, 48, berpendapat kali ini mungkin berlaku perubahan kerana Mukhriz dan Dr Ahmad Sohaimi dilihat sebagai "pemimpin yang baik dan merendah diri." - Bernama