• Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man 
  •   Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkasakan penguatkuasaan undang-undang terlebih dahulu sebelum ia boleh melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menjana pendapatan negara.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan perlu untuk  memastikan GST berfungsi dengan baik.


"Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan pada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.


"Pas terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST pada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.


"Akhirnya rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 berkata, kerajaan akan memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan dan sebagai gantinya melaksanakan GST yang bermula pada 2015.


Najib berkata pelaksanaan GST dapat membantu negara menangani banyak kelemahan dalam sistem pencukaian sedia ada.


Namun menurut Tun Ibrahim, pelaksanaan GST ini tanpa penguatkuasaan yang cekap hanya akan membebankan rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.


"Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada enam peratus.


"Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar tiga peratus sebelum beransur menjadi tujuh peratus," ujar beliau.


"Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk perlaksanaan GST. Lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa," katanya lagi.


Tambah Tuan Ibrahim, pengurangan subsidi dan  GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.


"Pas tetap membantah perlaksanaan GST.


"Perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat," jelasnya.