05 November, 2013
Punca BN Kalah Tersungkur Di Sg. Limau Tersebar
Barisan Nasional (BN) gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sungai Limau walaupun menggunakan segala jentera kerajaan negeri dan
pusat, di samping wang dan tokoh-tokoh besarnya.
PAS berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,084 undi apabila
calonnya Mohd Azam Abdul Samad mengalahkan calon BN Dr Ahmad Sohaimi
Lazim dalam pertandingan satu lawan satu.
Kegagalan BN untuk merampas kerusi ini juga menjadikan Menteri Besar
Kedah Datuk Mukhriz Mahathir kalah buat kali kedua dalam masa tidak
sampai sebulan.
Sebelum ini, Mukhriz yang memimpin jentera BN di Sungai Limau gagal
dalam usahanya untuk merebut salah satu kerusi naib presiden Umno
apabila beliau berada di tempat keempat di belakang Datuk Seri
Hishamuddin Hussein.
Mukhriz memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pilihan raya kecil ini dengan berkampung di Sungai Limau sepanjang kempen berjalan.
Beliau berada di mana-mana dalam kawasan pilihan raya untuk memastikan jentera Umno berjalan dengan baik.
Ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut dibawanya untuk membantu kempen BN.
Selain gambar calon BN, gambar Mukhriz banyak digantung di sini.
Tidak sebagaimana pilihan raya kecil sebelum ini, gambar Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak tidak digantung oleh petugas BN di Sungai
Limau.
Walaupun Mohd Azam menang, majoriti 1,084 undi adalah kurang berbanding
majoriti 2,774 yang diperolehi oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak
dalam pilihan raya umum lalu.
Kemenangan Mohd Azam, Penolong Pengetua Sekolah Menengah Agama An
Nahdzah, Bukit Besar mengalahkan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi merupakan satu keputusan yang manis bagi PAS
di Kedah setelah hilang negeri jelapang padi itu dalam pilihan raya
lalu.
Kemenangan ini juga manis buat Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk
Mahfuz Omar, yang menggalas tanggungjawab itu selepas Azizan meninggal
dunia.
Ia bakal menjadi bekalan penting untuk Mahfuz dalam pemilihan PAS dari
22 hingga 24 November ini apabila beliau dijangka akan mempertahankan
jawatannya sebagai naib presiden.
Kekalahan calon BN juga bermakna program Karnival Rakyat yang banyak
mendapat sambutan penduduk tempatan tidak berjaya diterjemahkan dalam
bentuk undi untuk BN.
Ia hanya menghabiskan wang yang banyak kepada BN apabila barangan seperti gula, beras dan Milo dijual dengan harga yang murah.
Walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan
alasan untuk mengelakkan penyakit kencing manis, gula dijual dengan
harga murah di Sungai Limau.
Tindakan kerajaan menarik balik subsidi 34 sen gula telah menyebabkan
harga gula naik melambung kepada RM2.84 sekilo, namun penduduk di sini
mendapat gula dengan harga RM1 sahaja sekilo.
Sekampit beras 5 kilogram hanya dijual dengan harga RM5 sahaja oleh karnival anjuran BN di sini.
Namun, terbukti ia tidak berjaya membeli undi penduduk Sungai Limau,
khasnya di kubu kuat PAS iaitu Bukit Besar, tempat berlangsungnya
karnival tersebut. ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment