Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified


25 November, 2013

Rupanya Ini Senjata BN Untuk Dapatkan Sokongan Di Sabah Dan Sarawak

Kemiskinan adalah senjata utama Barisan Nasional (BN) untuk mendapat sokongan di Sabah dan Sarawak manakala PKR pula mendahului rakan politik mereka mengukuhkan strategi untuk meraih sokongan pelbagai etnik di sana.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, meskipun Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai etnik berbeza namun mereka tidak dapat lari daripada membicarakan isu kemiskinan.
Mengapa Sabah dan Sarawak masih berada di bawah garis kemiskinan sedangkan kedua-dua negeri itu kaya dengan sumber asli? Apabila mereka miskin, mereka mudah tertarik dengan pemberian BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Ini menunjukkan pertalian jelas di antara BN dan populasi masyarakat Borneo yang saling bergantungan. Namun BR1M hanyalah penyelesaian panadol. Ia bukan penyelesaian jangka panjang untuk mengeluarkan rakyat Borneo daripada kemiskinan."
Biarpun PKR parti paling muda dalam Pakatan Rakyat (PR) berbanding rakan strategiknya iaitu PAS dan DAP namun prestasi mereka menunjukkan peningkatan sokongan di kedua-dua negeri Borneo itu.
"Pada 2008, PKR menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi parlimen di negeri Borneo. Namun dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PKR menang tiga kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN disebabkan kami berjaya meraih undi penduduk bandar di Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata kepimpinan PKR pusat akan mengadakan bengkel di Sabah dan Sarawak tahun hadapan bagi persediaan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.
"Kami akan pergi ke akar umbi bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatan kami di sana.
"Di penghujung bengkel itu, kami akan memberikan gred berdasarkan kawasan di Sabah dan Sarawak berdasarkan peluang kemenangan baik di peringkat DUN mahupun parlimen.
"A adalah kawasan yang kita menang atau kalah dengan majoriti kecil. B kawasan yang memerlukan usaha lebih untuk menang dan C merupakan kawasan yang berpeluang dimenangi BN."
Saifuddin berkata, meskipun berdasarkan analisis di atas kertas kelihatan mustahil menggugat pengaruh BN tetapi itu tidak mematahkan semangat PKR untuk berusaha keras.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) semasa merasmikan Kongres Khas Nasional 2013 di Shah Alam semalam berkata, pindaan perlembagaan parti kali ini akan memberi kuasa autonomi lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.
Katanya, dua negeri Borneo itu masih jauh ketinggalan di belakang berbanding negeri di Semenanjung meskipun negara telah mengecap 50 tahun kemerdekaan.
Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin mengucapkan ribuan terima kasih kepada perwakilan yang bersetuju meluluskan usul itu bagi mengiktiraf pemimpin Sabah di peringkat pusat pimpinan PKR.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada perwakilan yang telah mempersetujui cadangan kami meminta kuasa autonomi bagi negeri Sabah. Ini adalah parti pertama dalam negara yang telah memasukkan dalam perlembagaan partinya bagi memberi pengiktirafan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak.
“Ini satu langkah positif mendorong rakyat Sabah memberikan sokongan kepada PKR dan PR,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort yakin bahawa pindaan perlembagaan PKR itu nanti mampu mengembalikan kepercayaan dua Adun PKR yang baru-baru ini telah meninggalkan PKR.
Katanya, melalui pindaan baru itu dengan jelas memperjuangkan politik dan ekonomi rakyat Malaysia Timur yang sememangnya menjadi idaman pemimpin dan rakyat di dua negeri itu.
“Tidak ramai pemimpin yang meninggalkan PKR. Hanya dua Adun sahaja. Itu pun mereka belum menyatakan pendirian akan menyertai BN sebaliknya hanya mesra kepada BN.
“Saya cukup yakin dengan lulusnya perlembagaan parti akan menyedarkan pemimpin ini kerana sememangnya mereka merupakan pemimpin yang memperjuangkan hak dan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.
Baru-baru ini dua Adun PKR Sabah iaitu Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan dan Adun Kadamaian Jeremy Malajad mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Santubong, Ali Hasan berkata pindaan itu sememangnya wajar dilakukan selepas parti itu dilihat memberi kurang perhatian kepada Sarawak semasa kempen PRU13 lalu.
“Pindaan itu memang wajar kerana yang pada pilihan raya lepas perhatian memang kurang diberikan. Dengan adanya pengukuhan itu maka lebih kuat kami bergerak.
“PKR perlu meneliti banyak perkara kerana senario politik dan sosio-budaya Sarawak amat berbeza dengan negeri di Semenanjung dan ia dibuktikan dalam analisis yang dijalankan sebelum ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Ali juga melihat usaha PKR untuk mendapatkan sokongan Sarawak bagi membolehkan PR menawan Putrajaya telah menjadi trend parti politik sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.
Katanya, bagi merealisasikan usaha itu, PKR harus bekerja lebih keras memahami aspirasi rakyat Sarawak kerana menurutnya keperluan rakyat Sarawak kini semakin mendesak.
“Dalam konteks politik, itu perkara biasa kerana dalam politik pasti ada kelebihan dan kekurangan dalam segala aspek.
“Sokongan kepada PKR tidak mustahil tetapi PR kena bekerja lebih keras lagi kerana keperluan rakyat di Sarawak kian mendesak,” katanya.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali  ketika ditemui pemberita semalam berkata tumpuan diberikan kepada negeri Malaysia Timur bagi menghormati Perjanjian Malaysia yang telah dimeterai dengan memuatkannya dalam pindaan parti.
Katanya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk PKR memperkukuhkan penguasaannya di dua negeri itu sebelum PRU14 dengan memberi peluang pemimpin parti itu di Malaysia Timur bergerak bersama pimpinan pusat.
“Ini sebahagian keyakinan kita menghormati Perjanjian Malalaysia yang tidak cukup dengan kata-kata tetapi menjadi sebahagian perlembagaan parti bagi menghormati pembentukan Malaysia.
“Sekarang masa yang sesuai memperkukuhkan parti sebelum PRU14. Jika kita terima peranan Sabah dan Sarawak adalah penting, maka kita perlu memberi peluang kepada wakil mereka untuk duduk dalam struktur kepimpinan parti tertinggi iaitu Biro Politik dan MPP,” katanya. ~tmi

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.