Kerajaan di Penghujung Hayat
Disiarkan pada Nov 30, 2013
KERAJAAN DI PENGHUJUNG HAYAT
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang telah zahir padanya
tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu
menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara
sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konfliks berlaku sesama
rakyat. Kerajaan kelihatan bersikap tidak tolerance dan dibenci
oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak
mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan
rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan
pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.
Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance sehingga
dalam negara berlaku banyak konfliks antara rakyat. Kerajaan bersifat
kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik
pecah perintah mungkin menguntung golongan politik tertentu untuk
sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.
Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah:
“Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)” (Surah al-Qasas ayat 4-5).
Malaysia
Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri
negara ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak
kebelakangan ini penuh dengan konflik yang memecah belahkan antara
rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan
kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama
rasmi pula dibiarkan memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang
tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula dari isu
larangan orang bukan muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah
kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara
rakyat. Kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi seakan mendapat
tempat dalam media rasmi negara.
Demikian isu-isu perkauman dibangkit dalam pelbagai rupa. Golongan
yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita
lihat isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi
mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas
itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam.
Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak
bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka
rakyat terhadap kerajaan.
Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa
orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka
telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di
Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka
meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir.
Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang
melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat
keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani
perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu
apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita
mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di
sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut
politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran
tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka
mematuhi undang-undang negara.
Kepelbagaian
Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun
berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada
cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran.
Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatik perkauman
ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan
perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.
Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul
Hasan al-Ash’ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng
Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata
al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad
al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari:
“Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy’ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: “Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata”.
Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut:
“Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: “Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi s.a.w bersabda: “Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin”, maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim”. (Siyar A’lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Remeh Temeh
Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan
dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan
membiarkan kekalutan ini. Lebel-melebel dijadikan mainan yang dicampur
kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek melayu dilebelkan sebagai
liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilebel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.
Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek
tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta
kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh
mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.
Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama samada Yahudi,
Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah
orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum
lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama –kecuali yang ikhlas-
sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik
dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela
membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap
al-Imam al-Syafi’i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan
lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap
Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri
dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat
seperti isu qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat
dalam mazhab Syafi’i. Demikian juga dianggap wahabi mereka yang mereka
solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan
rakaat tarawih bukan kerana wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan
wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana wahabinya? Itu berdasarkan keadaan
masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung
tidak solat.
Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan
ini tidak pulak menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting
untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai,
isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam
kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.
Konfliks
Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu
konfliks kepada satu konfliks. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju
ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain
dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu
keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada
menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam
jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya
ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.
Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk
mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil
manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1 Malaysia
yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi
slogan kosong yang tidak bermakna.
Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama
lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan
pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majority.
Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan
menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka
menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana
dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan
dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka
kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai
yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian
mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.
Kategori: Dakwah
0 orang berkata:
Post a Comment