26 November, 2013
Khalid Ibrahim Tidak Kisah Di Tegur Anwar
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak kisah dengan
teguran kali kedua yang dilemparkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim apabila menyifatkannya ‘lambat’ melaksanakan arahan.Katanya,
beliau sedikit pun tidak terasa hati dengan teguran itu, malah
menerimanya dengan hati terbuka.
Khalid bagaimanapun mempertahankan, sebagai ketua eksekutif negeri yang
melaksanakan amanah rakyat, dirinya perlu mengambil langkah berhati-hati
dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Setiap kali melaksanakan sesuatu dasar saya perlu berhati-hati. Ia
bagus. Kami tahu apa kami nak tetapi kami perlu berhati-hati sebab ia
duit rakyat.“Apa niat baik kami tak menggambarkan apa yang sebenar,”
katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor di sini hari ini.
Anwar dalam Kongres Khas PKR semalam buat kali kedua menegur Khalid
apabila menganggap teguran itu seperti membaiki ‘skru yang sudah
longgar’ walaupun mengakui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan
Klang itu sebagai sahabat paling setia dalam parti.
Ditanya sama ada Khalid wajar menukar rentak pentadbirannya yang
perlahan, beliau bagaimanapun berkata “tidak, sudah terlambat untuk saya
melakukannya”.
Namun, Anwar sempat memuji rekod pentadbiran Khalid di Selangor apabila
berjaya mengurangkan pembaziran berbanding pemerintahan Barisan Nasional
(BN) sebelumnya.
“Saya yakin dia tak curi wang, tak ambil balak, tak ambil tanah dan tak
khianati amanah. Itu paling besar,” katanya di Kompleks Belia dan
Kebudayaan di sini semalam.
Teguran positif
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Azmin Ali ketika ditemui di lobi
DUN berkata, teguran itu perlu dlihat secara positif yang bertujuan
meningkatkan prestasi penyampaian pentadbiran Selangor.
“Teguran ini dibenarkan dalam Islam. Kita disuruh nasihat menasihati
bagi perkara bertujuan baik bukan meruntuhkan, tapi membina kekuatan
yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai usul yang mahu Anwar menjadi Presiden
PKR, Azmin berkata ini masa terbaik bagi Ketua Pembangkang itu menerajui
parti.
Mengakui hal ini pernah dibincangkan bersama Anwar, Azmin berkata Ahli
Parlimen Permatang Pauh itu menyifatkan perkara itu terlalu awal untuk
dimuktamadkan, tetapi bertegas mahu terus memujuk Anwar supaya
menerimanya.
“Kami merasakan ini waktu terbaik beliau menerajui PKR. Saya dah bincang
secara peribadi dengan beliau bagaimana kita boleh menstruktur
kepimpinan parti.“Kita tak boleh berada di takuk sama terlalu lama.
Ini parti berterasakan reformasi harus ambil kira pandangan akar umbi.
Saya sarankan ada penstrukturan semula dalam parti.Ia permulaan baik
dalam perbincangan dan kita akan teruskan meletakkan Anwar ditempat yang
selayaknya,” katanya.
Usul itu dibangkitkan Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari yang mahu
Anwar mengambil alih jawatan presiden kerana ia sah mengikut
perlembagaan parti.
Bagaimanapun cadangan itu disanggah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin
Nasution yang menganggap kedudukan Anwar sebagai satu ‘institusi’ dan
tidak perlu diubah. ~fmt
0 orang berkata:
Post a Comment