• Hannah Yeoh 
  •  Hannah Yeoh
1 / 1
SHAH ALAM - Di sebalik keterujaan kerajaan Selangor mengumumkan kenaikan gaji baru bagi kakitangan pentadbiran negeri ini, Speaker Dun, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak akan bergantung kepada kenaikan gaji untuk berkhidmat.

Menurut Hannah Yeoh yang dipetik daripada laman mikro Twitter miliknya, beliau akan meneruskan khidmat bakti yang dipegangnya sebagai wakil rakyat walau dengan berapa pun jumlah gaji yang diterimanya.

"Dan untuk rekod saya tidak hanya bergantung kepada kenaikan gaji.

"Naik gaji atau tidak, saya telah memberi khidmat pada lima tahun lepas dan akan terus berkhidmat," katanya, hari ini.

Semalam, satu usul kenaikan gaji telah dibentangkan pada sidang Dun Selangor oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun ketika Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013.

Abdul Khalid berkata, usul itu dibawa untuk membolehkan peruntukan dipinda dan pembayaran gaji baru dapat dibuat mulai 1 Januari.

“Cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan menentukan badan eksekutif dan legislatif.

“Di atas keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajar diambil atas permintaan Adun sekalian,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah Yeoh turut menyentuh mengenai laporan media arus perdana yang menggambarkan pendapatan yang diperolehinya melebihi gaji perdana menteri dan timbalan perdana menteri iaitu RM22, 500 berbanding RM22, 826.65 dan RM18, 168.15.

"Akhbar The Star dan ahli BN membayangkan saya memperoleh pendapatan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Itu jauh, saya boleh isytihar aset saya," ujarnya.

Selain itu Hannah Yeoh yang juga Adun Subang Jaya dalam tulisannya di laman sosial itu membandingkan kedudukannya dengan kerajaan BN yang lain.

"Saya hanya ada rumah teres, ada satu kereta Kia Sprento, tiada pendapatan lain, tiada jet peribadi.

"Suami saya pula tak ada mana-mana peranan dalam agensi kerajaan," tegasnya lagi.

Kenaikan itu mencakupi gaji Abdul Khalid yang naik lebih 100 peratus, daripada RM14,175.15 kepada RM29,250.

Gaji Hannah Yeoh akan dinaikkan daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada RM6,109.29 kepada RM20,250 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.