• Muzakarah
1 / 1
KUALA LUMPUR - Prasangka buruk tidak boleh wujud dalam kalangan anggota Pas dan Umno sekiranya mahu menjayakan muzakarah antara Pas dengan Umno.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sudah tiba masanya Pas dan Umno bermuzakarah demi menjaga kepentingan Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini daripada terus dipertikaikan pihak tertentu.

"Kita hendaklah mempunyai prasangka yang baik supaya muzakarah ini berjaya dan umat Islam serta orang Melayu dapat bersatu. Saya sebagai ahli umno sangat mengalu-alukan muzakarah di antara Pas dengan Umno," katanya anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyatakan kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha melaksanakan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Zahidi berkata dalam senario politik hari ini DAP sentiasa mempertikaikan hak istimewa orang Melayu termasuk kepentingan Islam iaitu DAP dilihat tidak mempedulikan pandangan Pas sebagai pakatan pembangkang.

"Mereka (DAP) sentiasa mempertikaikan Pas dan tidak ada gunanya mereka (Pas) bersama DAP lagi. Oleh itu maka eloklah diadakan muzakarah kerana sampai masanya umat Islam dan orang Melayu bersatu dan ini merupakan satu tuntutan dalam agama," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, orang Melayu dan orang Islam perlu duduk berbincang untuk masa depan anak cucu memandangkan sudah ada golongan tertentu yang begitu berani mencabar kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu.

"Ini semuanya berlaku kerana mereka (golongan tertentu) melihat orang Melayu dan Islam begitu lemah sehingga mereka merasakan bahawa mereka yang lebih berkuasa untuk menentukan politik negara kita," katanya.  

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masanya muzakarah antara Pas dengan Umno diadakan dan diharapkan dapat menjadi kenyataan.

"Saya menyambut baik dan harap dapat jadi kenyataan. Kita kena duduk berbincang bagaimana hendak pastikan hak kita, kedudukan Melayu dan agama Islam tidak terus dicabar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dari Pas  berkata bermuzakarah adalah satu perkara baik kerana keputusan yang diperoleh menerusi sesuatu muzakarah sangat penting untuk menentukan pentadbiran negara.

"Cuma bagaimana kita lihat kepada keputusan itu...pelaksanaan satu perkara yang lain, itu yang perlu ada muzakarah tetapi pelaksanaan itu adalah berdasarkan kepada keputusan muzakarah, jadi kadang-kadang sesuai atau tidak
sesuai, itu yang perlu dilihat dari semasa ke semasa," katanya. - Bernamaa