• Mohamad Sabu  
  • Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian oleh Azmi Aryanto
1 / 1
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu mengakui parti itu tidak mampu berjuang bersendirian sebaliknya memerlukan rakannya dalam Pakatan Rakyat untuk membantunya melebarkan jajahan khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Ke-59 di sini, beliau berkata, tanpa bantuan DAP dan PKR, Pas hanya mampu aktif di Kelantan dan Terengganu.  


"Kekuatan Pas adalah bersama Pakatan Rakyat. Kalau Pas berjuang secara sendirian, sudah tentunya jajahan kita tidak lebih daripada Rantau Panjang (Kelantan) sehingga Kemaman (Terengganu).


"Di bawah Pakatan Rakyat, jajahan kita melebar sehingga ke Selangor dan InsyaAllah sampai ke Johor. Kalau Johor kita dapat tawan, nadi Umno akan tamat di Malaysia," katanya.


Muktamar bertema 'Rahmat Untuk Semua' itu dihadiri 1,129 perwakilan.


Sementara itu, Setiausaha Agung Mustafa Ali dalam penggulungannya pula meminta anggota parti supaya tidak hilang keyakinan terhadap kedudukan dan peranan parti itu dalam pakatan pembangkang.


"Ini kerana kita masih lagi terlibat dengan setiap dasar dan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat menerusi Majlis Kepimpinan Tertinggi Pakatan," katanya sambil menafikan dakwaan Pas hanya `penumpang' dalam pakatan itu.


Selain itu, Pas turut mendapat banyak aduan berkaitan perjalanan mesyuarat Pas kawasan.


"Ini berkaitan individu luar yang hendak jadi calon di sesebuah kawasan.


Mengikut peraturan parti, seseorang yang ingin menjadi calon, mestilah anggota di kawasan itu dan perlu kemukakan sijil keahlian.    


"Ini melibatkan semua peringkat termasuk semua dewan. Pihak kita terpaksa berkerja lebih keras daripada biasa untuk membuat urusan pemindahan anggota kita dan ini mencapai rekod yang tidak pernah berlaku," katanya.


Menurutnya belum ada aduan dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung perjalanan mesyuarat Pas kawasan. - Bernama