• Muzakarah
1 / 1
KOTA BHARU – Pas dan Umno perlu bergabung untuk mendapatkan kuota dua pertiga yang diperlukan bagi meminda perlembagaan untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Zainal Keling berkata, hasil daripada gabungan tersebut juga sekali gus dapat melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.


“Sebagaimana yang kita tahu, Umno tidak pernah menolak hudud, cuma pelaksanaannya tidak dapat dilakukan buat masa sekarang kerana undang-undang tersebut memerlukan banyak penelitian pelbagai aspek, malah tenaga untuk melaksanakannya juga masih belum mencukupi.


“Umno juga tidak perlu membuka mulut untuk menjawab semua persoalan yang menjadi pertanyaan banyak pihak tentang pelaksanaan tersebut, jika perlembagaan tidak dipinda, kita tidak mendapat majoriti dua pertiga, ia tidak akan terlaksana dan kerajaan persekutuan secara automatiknya tidak boleh melaksanakannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah dalam temu bual ringkas bersama Sinar Harian menyatakan pihak kerajaan persekutuan seharusnya memberikan peluang kepada Kelantan untuk dijadikan eksperimen pelaksanaan hukum tersebut.


Malah Mohd Amar turut menegaskan kerajaan persekutuan tidak akan mengalami sebarang kerugian jika pelaksanaan hukum tersebut gagal di peringkat negeri itu.


Menurutnya, Umno juga didakwa mungkin mempunyai agenda tersendiri tentang pelaksanaan hukum tersebut yang mana menitik beratkan beberapa aspek lain dalam hubungan kepartian dan sebagainya.


Beliau berkata, ketegasan bersuara mungkin akan menyebabkan Umno akan kehilangan majoriti dalam parti komponennya malah perkara yang sama juga boleh berlaku dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR).


“Umno tidak mempunyai jumlah yang cukup kuat untuk pinda perlembagaan, maka penyatuan Umno dan Pas membolehkan ia terlaksana, tapi bagaimana pula dengan nasib kedua-dua parti tersebut jika gabungan itu hanyalah bersandarkan pada pelaksanaan hukum tersebut sahaja,” katanya.