• Bangkok isytihar darurat Tiga insiden serangan bom tangan dilaporkan menggegar Bangkok sepanjang minggu lalu.
1 / 1
BANGKOK - THAILAND. Semalam mengisytiharkan perintah darurat selama 60 hari di ibu negara dan kawasan sekitarnya sebagai usaha mengelakkan protes bertujuan untuk menggulingkan kerajaan menjadi lebih buruk.

Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul berkata, kabinet memutuskan untuk mengenakan perintah darurat tersebut selepas beberapa siri keganasan yang menyasarkan kumpulan antikerajaan mencemari Bangkok.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak merancang untuk mengusir penunjuk perasaan yang sudah berkampung di sekitar ibu negara sejak minggu lalu," katanya.

Sementara itu menurut laopran AFP, Menteri Buruh Chalerm Yubamrung yang akan memantau pelaksanaan perintah darurat tersebut memberi jaminan bahawa kerajaan akan mematuhi piawaian antarabangsa.

"Pihak berkuasa tidak akan menggunakan kekerasan kerana perintah berkurung belum dikuatkuasakan pada masa ini.

"Keputusan ini dibuat bagi meredakan ketegangan yang tercetus akibat protes yang bertujuan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selain melumpuhkan agensi kerajaan di Bangkok," jelasnya.

Difahamkan, larangan tersebut memberi kuasa kepada agensi keselamatan untuk mengenakan perintah berkurung, menahan suspek tanpa dakwaan, menapis media, melarang perhimpunan berunsurkan politik yang disertai lebih lima orang dan menguatkuasakan kawasan larangan di beberapa lokasi.

Kelmarin, kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk menguatkuasakan darurat berikutan situasi di ibu negara semakin meruncing hingga menyebabkan seorang maut manakala puluhan lagi penyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) cedera.