1 / 1
SHAH ALAM - PKR sedia ditolak oleh pengundi dalam PRK Dun Kajang sekiranya pengundi berasa parti tersebut mempermainkan demokrasi ekoran tindakan mengosongkan kerusi tersebut untuk diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan satu agenda.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, tindakan itu sebenarnya berisiko tinggi kerana taruhan yang dibuat terlalu besar dan bukan calang-calang.


“Ini terpulang kepada rakyat untuk tentukan siapa yang mereka mahu pilih, jadi kita tunggu orang Kajang buat keputusan mereka.


“Kalau ini didakwa permainan PKR, kami rela ditolak. Kami tidak memanipulasi sistem demokrasi seperti yang didakwa pihak lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Sebelum itu, pada forum ' Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya' semalam, Rafizi berkata keputusan tersebut amat menyakitkan orang ramai namun ia perlu dilakukan demi tanggungjawab dan kepentingan bersama.


“Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar ke dalam perkara ini dan ia bukan perkara yang mudah.


“Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda, apa lagi yang anda boleh lakukan?” katanya.


Terdahulu, PRK itu terpaksa diadakan berikutan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh secara tiba-tiba meletakkan jawatannya pada 27 Januari lalu.


Berikutan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi PRK Kajang.


Pada PRU13 lalu, calon PKR,  Lee Chin Cheh menang dengan majoriti 6, 824 yang mengalahkan calon BN, Lee Ban Seng dan empat calon Bebas.


Sebelum ini pada PRU ke 12, kerusi itu turut dimenangi PKR yang mendapat majoriti 3,268.


Selain itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dakwaan mempermainkan demokrasi sebenarnya tidak wujud kerana pihaknya sama sekali tidak membelakangkannya demi rakyat.


“Ada orang kata kita tidak hormat demokrasi, tapi saya kata sebenarnya cara kita kini yang paling demokrasi beri peluang kepada rakyat untuk memilih.


“Kita meletakkan Anwar itu memang mengundang kontroversi, tapi kita buat ini langsung tidak membelakangkan demokrasi," katanya.