Najib: Tolak ugutan, keganasan, tindakan ekstrem
- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam bagi membincangkan isu semasa negara di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia
supaya menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem
yang boleh menggugat keharmonian yang dikongsi dan dinikmati pelbagai
kaum di negara ini.
Dalam perutusan Tahun Baharu Cina beliau, Perdana Menteri berkata
ketika rakyat bergembira menyambut ketibaan tahun kuda, mereka juga
haruslah mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah
dinikmati sejak sekian lama.
“Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran. Tergalas di
bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan
satu sama lain.
“Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan
undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain,” katanya
dalam blog www.1Malaysia.com.my.
Beliau menarik perhatian bahawa walaupun banyak kemajuan dicapai dalam
program transformasi, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang
perlu dicapai.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata program transformasi
memerlukansokongan daripada segenap lapisan masyarakat – terutamanya
komuniti kaum Cina yang terkenal mahir dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata banyak inisiatif sedang diusahakan demi meningkatkan
taraf kehidupan rakyat termasuk program berterusan seperti Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Ops Harga bagi
membendung kenaikan harga dan banyak lagi untuk membantu mengurangkan
kesan tekanan inflasi global.
Selain itu, katanya mesyuarat perundingan dan perbincangan yang memberi
fokus kepada menangani isu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat
juga dijalankan.
“Segala usaha kita akan berkecai sekiranya tidak ditunjangi dengan sokongan dari anda semua.
“Kita mesti kekal berdaya tahan dalam menempuhi cabaran ekonomi untuk
mengekalkan kestabilan dan kemajuan demi generasi masa akan datang,”
kata beliau.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat
Cina Malaysia, Najib menyatakan penghargaannya terhadap peranan yang
dimainkan mereka dalam membina negara sejak zaman merdeka lagi.- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment