29 Januari, 2014
Patutlah Anwar Bertanding Di DUN Kajang.. Ini Penjelasan Rafizi
PKR hari ini menjelaskan rasional di sebalik pengosongan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang dan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai calon adalah langkah menghadapi plot menyingkirkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari dalam Umno oleh kem Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata usaha untuk menyingkirkan
Najib mula dijalankan kem bekas perdana menteri itu yang juga merupakan
musuh utama kepada Anwar dalam kes pemecatan bekas timbalan perdana
menteri itu pada 1998.
"Sudah menjadi rahsia terbuka langkah untuk menyingkirkan Najib kini bermula.
"Sebagai seorang anggota strategi parti, saya tidak boleh menolak
kemungkinan Najib disingkir dan Umno jatuh kepada kem ultra Dr
Mahathir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi membayangkan perkara lebih buruk berlaku sebaik usaha tersebut
berjaya kerana usaha untuk merampas negeri Selangor akan dilakukan
sedaya upaya sebaik sahaja Najib tersingkir.
"Serangan dan rancangan tidak bermoral untuk sedaya upaya merampas
Selangor akan bermula selepas Najib yang lemah disingkirkan," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kontroversi agama dan perkauman yang
dimainkan oleh Umno dan sekutu mereka sejak kebelakangan ini adalah
isyarat jelas bahawa perkara di luar jangkaan mungkin berlaku.
"Jika Najib jatuh, diramalkan isu manipulasi perkauman dan agama akan
dicipta untuk mewujudkan ketidakpercayaan dan kekecewaan kepada kerajaan
negeri Selangor," katanya.
Rafizi berkata, langkah meletakkan Anwar bertanding di Kajang juga
adalah sebagai batu loncatan kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha
merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
"Istanbul menjadi batu loncatan kepada Erdogan dan Jakarta kepada
Jokowi, Selangor boleh menjadi batu loncatan kepada Pakatan untuk
merampas Putrajaya," katanya.
Sementara itu, katanya, PR memerlukan pemimpin tertinggi dan
berkemampuan untuk mempertahankan Selangor daripada dirampas BN kerana
negeri tersebut dianggap mutiara kepada mana-mana parti politik di
Malaysia.
"Kita perlukan sebanyak mungkin pemimpin tertinggi di Selangor untuk
mempertahankannya kerana ia merupakan mutiara kepada mana-mana gabungan
parti politik di dalam negara," katanya.
Rafizi berkata, tidak mustahil suatu hari nanti kontroversi PKR di Kajang akan mengubah rentak strategi menuju ke Putrajaya.
"Kita boleh imbau ketika saat sukar yang akan dikenang sebagai 'Langkah
Kajang' sebagai penentu dalam usaha menawan Putrajaya,” katanya.
Rafizi turut meminta maaf kepada pengundi Kajang kerana terpaksa
berdepan satu lagi pilihan raya dan menegaskan PKR sedia menerima akibat
sekiranya pengundi menghukum mereka.
PKR di Selangor ketika ini sedang bergolak selepas dikatakan wujud usaha
untuk menjatuhkan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim daripada tampuk pemerintahan.
Krisis dan kontroversi tercetus sejak pengumuman kenaikan gaji oleh Abdul Khalid yang dikatakan tidak dibuat secara konsensus.
Kemudiaan disusuli dengan insiden pengguguran Timbalan Presiden PKR,
Mohamed Azmin Ali daripada anak syarikat negeri Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.
Kemelut PKR berterusan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya pada Isnin.
Semalam, pengumuman dibuat oleh PKR untuk meletak Anwar sebagai calon di kerusi yang dianggap selamat untuk dimenangi.
Langkah meletak Anwar dilihat pengkritik sebagai usaha meredakan
ketegangan antara kem Abdul Khalid dan Azmin yang menyukarkan
pentadbiran Selangor. ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment