• Mengaku ceroboh rumah wartawan Mohamad Tarmizi (dua, kanan) diberkas anggota polis selepas memecah masuk rumah wartawan Sianr Harian jumaat lalu.
1 / 1
KUANTAN - Seorang penagih dadah yang menceroboh masuk rumah sewa dihuni dua wartawan Sinar Harian 16 Januari lalu dipenjara tiga minggu dan didenda RM700 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan itu semalam.

Tertuduh, Muhamad Tarmizi Muda, 24 berasal dari Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun Terengganu turut berdepan hukuman penjara dua minggu jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dituduh dalam mahkamah sama atas tuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah jenis methphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atasnya.

Dia mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu sebutan laporan kimia yang ditetapkan 12 Februari depan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai nelayan didapati melakukan pencerobohan jenayah ke atas rumah sewa dihuni wartawan Sinar Harian di Lorong Kubang Jeram 12, Taman Satelit Damai, Beserah kira-kira jam 9.30 malam, 16 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia menyara keluarga termasuk ibu bapa dan adik-adik dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan sebagai nelayan.

Hukuman diputuskan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang dipercayai menceroboh masuk rumah didiami Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang, Aswany Omar, 37, dan wartawan Sinar Harian Biro Pahang, Erma Yusnida Jusoh, 31, dengan niat melakukan jenayah, terjerat apabila salah seorang penghuni pulang ke rumah dan mendapati terdapat kesan pecah pada siling bahagian depan.
Mensyaki rumah dipecah masuk penjenayah, pengadu menghubungi tuan rumah sebelum masuk untuk mencari individu disyaki.

Cubaan tertuduh bersembunyi di celah tikar dalam stor berjaya dikesan selepas pemeriksaan kedua ke atas ruang itu dilakukan.
Tertuduh cedera dibelasah penduduk sebelum diserahkan kepada polis.
Sementara itu, Aswany melahirkan rasa syukur kerana penjenayah tersebut menerima hukuman dan berharap agar dia mendapat pengajaran daripada sikapnya itu.
"Lepas ni bertaubatlah dan jangan buat lagi kerana mungkin orang lain akan bertindak lebih agresif lagi kerana tidak berpuas hati dengan kes seperti ini.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Taman Satelit Damai kerana membantu kami sehingga tertangkapnya penjenayah yang memecah masuk rumah kami Jumaat lalu," katanya.