Suspek bakar teman wanita di Setapak Jaya ditahan
22/01/2014 5:02pm
KUALA LUMPUR - Lelaki dipercayai membakar teman wanita dan anak
perempuannya di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya, semalam
ditahan polis di sebuah taman perumahan di Hutan Melintang, Perak
kira-kira pukul 3 pagi ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten
Komisioner Khairi Ahrasa berkata, penganggur berusia 27 tahun itu
dipercayai melarikan diri ke tempat asalnya sejurus kejadian.
Sewaktu suspek ditahan, polis menemui satu plastik lutsinar seberat
2.15 gram yang dipercayai ganja, katanya dalam sidang media selepas
sambutan Maulidur Rasul Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
"Berdasarkan siasatan, motif kejadian adalah disebabkan perselisihan
faham dengan teman wanitanya mengakibatkan dia hilang pertimbangan dan
membakar rumah yang didiami wanita itu," katanya.
Tambahnya, keadaan wanita itu yang merupakan ibu tunggal dilaporkan
kritikal apabila mengalami kelecuran sehingga 65 peratus di seluruh
badan.
"Anaknya yang berusia 18 bulan juga berada dalam keadaan kritikal," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment