24/04/14
Hudud: Umno tolak, Gerakan ugut saman
KUALA LUMPUR: Sehari selepas Ahli
Parlimen Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan secara terbuka
tidak menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, hari ini Gerakan selaku
sekutu Umno pula bertindak serupa.
Sekumpulan Pemuda Gerakan hari ini
menyerahkan satu notis kepada PAS, mengugut untuk mengambil tindakan
undang-undang jika Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan Kanun Jenayah
Syariah II (1993) melalui Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen.
Notis itu diserahkan ketuanya Tan Keng
Liang bersama 12 anggotanya kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS
Malaysia, Yusapiza Yaakob di Pejabat Agung PAS di sini tengah hari ini.
"Dengan ini kami memberi notis kepada
PAS. Kami akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah untuk
menegakkan perlembagaan persekutuan negara kita sekiranya PAS
melaksanakan hukum hudud di Kelantan," kandungan notis itu dipetik.
Selain penyerahan itu, mereka juga
dibenarkan menggunakan ruang sidang tingkat bawah bangunan itu bagi
menyatakan pandangan berhubung undang-undang Islam itu.
Semalam, Nur Jazlan berkata beliau secara peribadi tidak menyokong usaha untuk perlaksanaan hudud.
Katanya, usaha PAS mendekati Umno untuk
menyokong perlaksanaan hudud adalah sia-sia kerana parti itu pasti telah
melaksanakan hukum jenayah Islam itu jika ia menjadi satu keutamaan.
“Jika tidak, nenek moyang kita telah
melaksanakannya (hudud) sejak lama dulu. Secara peribadi saya tidak
menyokong ini (pelaksanaan hudud)," kata Nur Jazlan kepada The Malay
Mail Online.
Walaupun menentang, Nur Jazlan berkata
adalah hak Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam di
negeri itu, namun beliau mencadangkan PAS untuk mendapatkan pandangan
daripada negeri-negeri lain bagi memastikan konsistensi dalam sistem
perundangan negara.
Dalam pada itu, tiga ahli parlimen Umno
telah menyatakan sokongan terhadap cadangan Kerajaan Negeri Kelantan
untuk melaksanakan hukum jenayah syariah itu.
Mereka adalah Parlimen Ketereh, Tan Sri
Annuar Musa dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.
Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga telah berjanji bahawa pusat
akan membantu Kelantan dalam usaha ke arah perlaksanaan undang-undang
Islam itu. - hd
0 orang berkata:
Post a Comment