Hudud: Sarawak ikut keputusan Perdana Menteri
KOTA SAMARAHAN - Sarawak akan mengikut keputusan dan pendirian yang
dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap usul rang
undang-undang persendirian bagi melaksanakan Hudud di Kelantan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ir Daud
Abdul Rahman, berkata kerajaan negeri tidak menolak pelaksanaan Hudud,
kerana sebagai orang Islam hukum yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh
ditentang.
"Pelaksanaan Hudud itu mesti mengikut perkembangan semasa supaya semua
pihak termasuk mereka yang bukan Islam betul-betul memahami hukum
tersebut.
"Seperti apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, hukum Hudud tidak
pernah dilaksanakan sebaliknya ia merupakan satu proses yang berjalan
dengan sendiri dan pelaksanaannya dilakukan kepada semua orang,"
katanya.
Daud berkata keadaan itu berbeza dengan hasrat PAS yang ingin
melaksanakan undang-undang Hudud itu secara persendirian di Kelantan dan
hanya dikuatkuasa kepada mereka yang beragama Islam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya pendirian
Sarawak sama ada menyokong atau menolak usul rang undang-undang
persendirian bagi melaksanakan Hudud di Kelantan yang dijangka
dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau selewat-lewatnya Disember
ini.
Terdahulu Daud merasmikan Seminar Fatwa Institut Pengajian Tinggi (IPT)
peringkat Sarawak di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS)
Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya hukum Hudud dilaksanakan
sedemikian di Kelantan, ia akan mengundang pelbagai komplikasi, iaitu
mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka yang bukan beragama
Islam.
"Sepatutnya penerangan dan pemahaman mengenai hukum Hudud itu perlu
dilaksanakan terlebih dahulu kepada seluruh masyarakat dan dalam hal ini
Pusat Penerangan Islam (IIC) harus memainkan peranan.
"Sekiranya masih ada yang takut mengenai hukum Hudud, sama ada orang
Islam atau bukan Islam, membuktikan bahawa pemahaman rakyat mengenai
hukum itu masih belum jelas," katanya.
Daud berkata dalam masa yang sama, penerangan mengenai Islam harus
ditunjukkan menerusi amalan dan sikap umat Islam sendiri, supaya mereka
yang bukan Islam menghormati dan tertarik dengan agama Allah ini. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment