Laporan awal tentang MH370 dikeluar esok
SEPANG - Laporan awal tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines
MH370 akan dikeluarkan esok, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata laporan itu adalah serupa seperti yang dikemukakan
kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan
Penerbangan Awam (DCA).
"Saya rasa tiada apa-apa masalah untuk mengeluarkan laporan itu. Tetapi
kami telah memutuskan sebagai satu pasukan, bahawa ia akan dikeluarkan
esok.
"Persetujuan itu saya minta dalam perbincangan saya dengan Australia
dan pihak berkepentingan lain dalam misi pencarian, saya telah
membentangkan dan melaporkannya kepada Kabinet pagi ini dan saya
mendapat mandat yang perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Stesen Express Rail Link (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur 11 (klia2) di sini, hari ini.
Komitmen kerajaan untuk mengeluarkan laporan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan berlepas
ke Australia minggu depan untuk berbincang tentang fasa baharu misi
mencari MH370 yang sekarang tertumpu di kawasan laut dalam dan termasuk
aspek kewangan.
Beliau berkata sebarang pengumuman berhubung kos operasi bagi fasa
baharu juga akan dibuat minggu depan jika pihak-pihak berkaitan mencapai
kata sepakat dan persetujuan mengenainya.
"Tetapi kami tidak tahu tentang kosnya sehingga kami memutuskan di mana
hendak memulakan pencarian, apakah aset yang akan digunakan dan siapa
yang akan membekalkan aset-aset itu," katanya dan menambah tiga
jawatankuasa peringkat kementerian sedang meneliti perkara itu.
Dalam sidang media di Canberra pada Isnin, Perdana Menteri Australia
Tony Abbott berkata operasi mencari sekarang memasuki fasa baharu dengan
tumpuan kepada pencarian di dasar laut membabitkan kawasan lebih luas.
Beliau berkata fasa baharu membabitkan khidmat kontraktor komersial
yang memiliki kepakaran tinggi dalam operasi pencarian di laut dalam
dengan kosnya dianggarkan AUD60 juta (RM184 juta).
Abbott berkata Australia akan akan memohon "sumbangan berpatutan" daripada negara-negara lain yang menyertai operasi mencari.
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada
imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8
Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41
tengah malam.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan
pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan
ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan
Lautan Hindi. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment