• Adenan Satem Adenan Satem
1 / 1
KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak bercadang meminda Kanun Tanah Negeri untuk membolehkan penjualan dan pembelian Tanah Adat Pribumi (NCR) di kalangan pribumi, tanpa mengira lokasi tanah berkenaan.
  
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata Rang Undang-undang Pindaan Kanun Tanah akan dibentangkan untuk kelulusan pada persidangan Dewan Undangan Negeri November ini.
  
"Pindaan yang dibuat terhadap Kanun Tanah Negeri akan membolehkan pribumi membeli mana-mana tanah NCR di mana sahaja kerana jika kita mengehadkan penjualan dan pembeliannya kepada anggota masyarakat pribumi di sesuatu tempat atau rumah panjang sahaja, maka tanah itu hampir tidak mempunyai nilai langsung," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
  
Mengikut Kanun Tanah Negeri sedia ada, pemilik tanah NCR dilarang menjual tanah mereka kepada peribumi dari rumah panjang atau kawasan lain.
  
"Ini terpakai sejak 200 atau 300 tahun dahulu kerana idea pada waktu itu adalah untuk mengehadkan tanah berkenaan kepada komuniti itu sahaja kerana pada zaman dahulu, tanah hanya digunakan untuk bercucuk tanam, tetapi kini ia juga digunakan untuk kegiatan perdagangan dan industri.

"Oleh itu, undang-undang perlu disesuaikan dengan perubahan yang berlaku. Sejajar dengan itu, November ini, kami akan memperkenalkan pindaan terhadap kanun tanah sedia ada agar setiap anggota masyarakat pribumi boleh membeli tanah NCR dan menjualnya kepada anggota masyarakat sama ada orang Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu," katanya.

  
Menurut beliau pindaan terhadap kanun tanah itu tidak mempunyai kaitan dengan bukan pribumi kerana urusan jual belinya hanya dibenarkan antara pribumi dengan pribumi.
  
Dalam perkara berasingan, Adenan berkata terdapat pelbagai komen berhubung langkah kerajaan negeri melarang orang tertentu memasuki negeri ini.
  
"Ada yang berkata kenapa hanya pemimpin pembangkang, tapi orang Barisan tidak dilarang memasuki negeri ini.
  
"Saya akan sentuh perkara ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang Mei ini," kata Adenan. - Bernama