Lebih 50 kenderaan bawa pelancong dari Thailand tanpa permit ditahan JPJ
27/04/2014 5:27pm
ARAU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 54 kenderaan membawa
pelancong dari Thailand gara-gara tidak mempunyai permit khas daripada
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam operasi di pintu sempadan
Bukit Kayu Hitam sejak 24 April lepas hingga ke hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sehingga hari ini
sahaja lapan kenderaan dari negara jiran itu ditahan dalam usaha
membendung kegiatan pengusaha van atau kenderaan pelancongan asing yang
membawa pelancong dari Thailand ke beberapa destinasi pelancongan di
negara ini.
"Tindakan ini diambil berikutan aduan daripada pengusaha teksi dan
kenderaan pelancongan di Bukit Kayu Hitam yang mendakwa kegiatan van
negara jiran membawa terus pelancong dari negara itu sehingga ke Kuala
Lumpur telah menjejaskan pendapatan mereka.
JPJ mengambil tindakan serta merta dengan menempatkan secara tetap
penguat kuasa di setiap pintu sempadan Malaysia-Thailand untuk memantau
dan mengambil tindakan terhadap kenderaan asing yang membawa pelancong
tanpa permit sah," katanya pada sidang akhbar program Satu Komuniti Satu
JPJ (SKSJ) di sini.
Menurut Ismail, kenderaan asing itu turut dikenakan saman RM300 serta-merta dan diarahkan berpatah balik ke Thailand. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment