27/04/14
Artis masuk PERKASA kerana kerenah birokrasi
Beberapa
orang pelakon serta penggiat drama dan filem tempatan mengumumkan
penyertaan dalam NGO pendesak Melayu, PERKASA pada malam tadi.
Mereka
menyertai biro kesenian dan warisan NGO tersebut, yang dipromosi
sebagai wadah untuk menjaga kepentingan mereka dalam industri hiburan
tanah air.
Antaranya
yang hadir dalam majlis pelancaran biro tersebut ialah pengarah dan
pelakon, Zulkifli M Osman yang bertindak sebagai timbalan pengerusi II
biro itu.
Beliau
melihat PERKASA sebagai sebagai satu platform yang mampu membawa isu
dan suara anggotanya kepada perhatian menteri yang berkaitan.
Menurutnya, beberapa isu yang cuba diketengahkan golongan itu sebelum ini tidak mendapat perhatian disebabkan kerenah birokrasi.
"Kita
cuba mengatasi situasi dalam industri yang tak berjaya melepasi benteng
sampai ke (peringkat) atas. Melalui biro ini kita mungkin berjaya untuk
sampai ke atas
"Biasanya
(isu) cuma sampai kepada KSU (ketua setiausaha), KP (ketua pengarah),
dan setiausaha politik sahaja – ia biasanya tak sampai ke peringkat
atas.
"Kepimpinan
(golongan artis) kita sebelum ini tidak cukup lantang," katanya ketika
ditemui wartawan di program Malam Rintihan Penggiat Seni Tanah Air, di
Kuala Lumpur.
Menurutnya, dua orang penggiat seni yang sudahpun menyertai PERKASA ialah seniwati Fauziah Nawi dan penyanyi Ebby Saiful.
Biro
tersebut diketuai bekas anggota kumpulan Carefree dan pelakon era
80-an, Datuk Don@Abdullah Hussain yang sudah menjadi ahli PERKASA sejak
awal penubuhannya lagi.
Selain
Zulkifli dan Don, turut kelihatan hadir pada majlis semalam adalah
pelakon Shaharudin Thamby, Datuk Baharuddin Omar, seniwati Ruminah
Sidek, pelakon dan penerbit Datuk Yusof Haslam, serta pelakon dan
pelawak Imuda.
Baharuddin
Omar mengesahkan beliau merupakan anggota PERKASA sejak biro itu
ditubuhkan sekitar sebulan lalu sementara Yusof Haslam pula hadir untuk
memberi sokongan kepada penubuhan biro itu dan belum menjadi anggotanya.
Hadirin
pada majlis malam tadi dipersembahkan dengan tayangan video berjudul
'Nasib Orang Kita' yang memaparkan penderitaan beberapa artis yang
meninggal dunia akibat penyakit seperti barah dan sakit tua.
Selepas itu, seniwati Ruminah menyampaikan monolog berjudul 'Gelandangan Anak Seni' selama kira-kira 10 minit.
Acara
malam tadi diakhiri dengan sesi dialog di antara wakil pekerja filem
dan drama dengan anggota panel di antaranya terdiri daripada Presiden
PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, produser Yusof Haslam serta pengerusi biro
kesenian dan warisan itu sendiri.
0 orang berkata:
Post a Comment