Perbicaraan ketua ajaran sesat Tuhan Harun tangguh
23/04/2014 11:46am
KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan menangguhkan perbicaraan membabitkan ketua ajaran Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 47, dan lima pengikutnya berkaitan tuduhan membunuh Ketua Penolong Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, November lalu, kepada 8 Mei ini.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan penangguhan itu sebentar tadi bagi memberi peluang kepada pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Khamizah Salleh untuk mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi meminda pertuduhan yang dikenakan kepada tertuduh.
Harun, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 31, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, dan Jefferi Safar, 37, dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka dengan niat membunuh Ahmad Raffli.
Sumustapha Suradi, 39, Shamsinar Abdul Halim, 37, dan seorang lagi yang masih bebas pula dituduh membunuh Ahmad Raffli di Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota, dekat sini, 10 November lalu.
Semua tertuduh berdepan hukuman mati jika didapati bersalah terbabit dalam pembunuhan Ahmad Raffli. - KOSMO!
0 orang berkata:
Post a Comment