• Azmin Ali mengucapkan tahniah pada barisan Exco yang baharu pada Istiadat Perlantikan Exco Negeri Selangor di Istana Alam Shah di Klang hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Azmin Ali mengucapkan tahniah pada barisan Exco yang baharu pada Istiadat Perlantikan Exco Negeri Selangor di Istana Alam Shah di Klang hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
1 / 1
PETALING JAYA - Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang mengurangkan kerusi exco untuk Pas tidak perlu dipertikaikan lagi kerana upacara mengangkat sumpah kesemua 10 barisan Exco Selangor itu telah pun selesai dijalankan.

"Semua sudah selesai (pelantikan exco) angkat sumpah pun sudah selesai," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, sebentar tadi.

Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai komposisi baharu itu yang memberi kelebihan kepada PKR sambil berkata mesyuarat Exco Selangor yang pertama akan dilakukan pada Rabu depan.

"Lain-lain perkara kita akan bincangkan dalam mesyuarat Exco Selangor pada Rabu depan," katanya lagi.

Tindakan Azmin yang mengubah komposisi kerusi Exco Selangor tidak disenangi rakan komponennya, Pas apabila kuota parti itu menjadi tiga berbanding empat sebelum ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kesal dengan tindakan menteri besar itu dan berharap Majlis Pimpinan PR dapat mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, Azmin menafikan pengurangan kerusi untuk Pas didorong oleh perbalahan di antara Pas dan PKR-DAP berhubung kemelut jawatan menteri besar.

Perbalahan itu yang masih belum reda tercetus apabila pimpinan Pas enggan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri pimpinan Azmin adalah Pesuruhjaya Selangor, Iskandar Abdul Samad (Adun Cempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) dan muka baru Zaidy Abdul Talib (Adun Taman Templer).

Pengurangan kerusi untuk Pas menyaksikan pengguguran Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali daripada senarai exco baharu.