Anggota polis sebar video bakal dikenakan tindakan
- Video yang menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial.
SHAH ALAM – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM
melahirkan rasa kesal dengan perbuatan anggotanya yang tidak beretika
dalam insiden merakam dan memuat naik video vokalis kumpulan terkenal,
Zamani menyanyi ketika ditahan di media sosial, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Zubaidah Md Ismail menegaskan tindakan individu
terbabit telah mencemarkan nama baik organisasi polis yang sepatutnya
melindungi hak mana-mana pihak meskipun berstatus orang kena tahan
(OKT).
“PDRM tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan oleh segelintir
pegawai atau anggota PDRM yang didapati mengaibkan mana-mana OKT atau
apa saja perbuatan yang menyalahi peraturan, undang-undang dan juga hak
asasi mana-mana OKT.
“Pihak PDRM telah mengenal pasti anggota yang terlibat dalam kejadian
itu dan tindakan tegas sedang dilaksanakan untuk mengelakkan kejadian
ini daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas paparan video tersebut menyaksikan
individu yang bertanggungjawab merakam video itu memaksa Zamani
menyanyikan lagu popularnya dalam keadaan tangan bergari.
Video berdurasi satu minit 23 saat itu menjadi viral serta mendapat
kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti
blog dan Facebook.
Penyanyi berusia 43 tahun itu ditahan bersama seorang wanita berusia 33
tahun positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira jam 12.30 pagi, Rabu
lepas.
Zamani ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Zubaidah berkata lagi, selain siasatan pihak polis dari
sudut jenayah, jabatannya juga akan menjalankan siasatan dalaman dari
sudut tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan & Tatatertib) 1993.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota PDRM supaya
elakkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menyalahi sama ada
dari segi undang-undang, peraturan, SOP ataupun etika kerja penjawat
awam,” ujarnya.
Beliau juga memberi jaminan JIPS Bukit Aman akan memantau dan menyelia
Kertas Siasatan Tatatertib yang dijalankan oleh JIPS Ibu Pejabat
Kontinjen Polis Selangor.
0 orang berkata:
Post a Comment