• Pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas menentang Mexico pada perlawanan suku akhir saingan pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang di Singapura, hari ini. - Foto Bernama Pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas menentang Mexico pada perlawanan suku akhir saingan pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang di Singapura, hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
MALAYSIA mempamerkan aksi unggul selepas membelasah Mexico 10-1 pada perlawananan suku akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang, di Singapura, hari ini.
    
Kejayaan itu membolehkan skuad bimbingan Tai Beng Hai mara ke perlawanan separuh akhir pada Sabtu dan dijangka bertemu Jepun, sekali gus membuka peluang untuk mencapai sasaran menjadi dua pasukan terbaik kejohanan kali ini.
    
Dalam perlawanan hari ini, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil menjadi hero pasukan Malaysia apabila menjaringkan empat gol pada minit ke-4 melalui pukulan sudut penalti manakala gol padang dijaringkan pada minit ke-30, 31 dan 48.
    
Gol Malaysia lain dijaringkan Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-14,  Muhammad Razie Abdul rahim (minit ke-16), Muhammad Firhan Ashari (minit ke-19), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit ke-40), Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin (minit ke-44), Muhammad Haziq Samsul (minit ke-54).
    
Gol tunggal Mexico dijaringkan Andres Rangel pada minit ke-24 melalui gol padang.
    
Malaysia masih mengekalkan rekod tanpa kalah sejak kejohanan bermula pada 16 Jan; menumpaskan Oman 8-0, menang 5-1 ke atas Ukraine dan membelasah Singapura 16-1.
    
Mengikut format kejohanan, tiga pasukan terbaik daripada pusingan ini akan melangkah ke peringat separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium atau Argentina pada Jun ini.
    
Enam pasukan terbaik daripada Liga Hoki Dunia akan layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil bersama-sama dengan tuan rumah, Brazil dan lima juara benua. - Bernama