PKR masih cuba damaikan Pas, DAP
PETALING JAYA - PKR masih mencuba untuk mengatur pertemuan khas di
peringkat tertinggi PR dalam rangka untuk meredakan konflik yang berlaku
antara rakan komponennya, DAP dan Pas.
Namun, sehingga hari ini usaha tersebut masih belum terlaksana.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Chean Chung berkata,
meskipun mesyuarat di peringkat tertinggi masih gagal dijalankan namun,
mesyuarat di peringkat-peringkat lain telah dilaksanakan.
"Sebenarnya selama ini kami cuba mengaturkan mesyuarat PR di peringkat
tertinggi dan sehingga hari ini percubaan itu masih diteruskan.
"Tapi selain itu bagi saya, lebih penting adalah PR walaupun di
peringkat tertinggi itu tidak dapat mesyuarat tapi di peringkat lain,
masih berjalan," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Ibu
Pejabat PKR, hari ini.
Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa ramai ahli DAP yang masih mahu kekal bersama dalam PR.
"Saya ingin memetik kenyataan Ketua AMK yang menyebut, ramai ahli Pas
yang mahu bersama dengan PR. Saya juga yakin bahawa ramai ahli DAP yang
juga mahu bersama dengan PR," katanya.
Ketika ditanya soal punca kegagalan menjalankan mesyuarat itu, beliau
menegaskan tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya.
"Saya tidak ingin membuat sebarang spekulasi, mungkin ada sebab-sebab
tertentu. Contohnya sebelum ini semua sibuk dengan isu banjir. Tiba-tiba
ia berlaku yang memang memerlukan perhatian kita.
"Tapi sekarang isu yang paling penting adalah keputusan mahkamah
melibatkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari ini," katanya.
Menyentuh soal kes Ketua Umum Pembangkang itu, beliau berkata, PKR
telah bersedia berdepan keputusan mahkamah dan meneruskan perjuangan
parti sekiranya Anwar dipenjarakan.
"Saya berpendapat, kita telah ada pemimpin-pemimpin pelapis yang telah
bersedia untuk menjalankan tugas. Perjuangan kita akan tetap berterusan.
Tapi kita tetap yakin Anwar tak bersalah.
"Ini bukan kali pertama Anwar di penjara (jika keputusan tidak
menyebelahinya kali ini). Parti kita pun ditubuhkan semasa Anwar dalam
penjara, jadi, saya rasa ini bukan satu masalah," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment