Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MASYA ALLAH ! TERLINGKUP PAS !

[PENDEDAHAN MENGEJUTKAN]: Harakah & Parti Dalam Bahaya


Kuala Lumpur: Salah seorang pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, Ishak Surin mendedahkan selama dua dekad Datuk Mustafa Ali memegang jawatan Pengerusi Harakah, sudah terlalu banyak pembaziran yang dilakukan Setiausaha Agong PAS itu.

“Sehinggakan perjuangan dan imej Islam yang dibawa oleh PAS sedikit sebanyak tercemar,” tambah beliau.

Secara terus terang, Ishak memberitahu, malah Mustafa juga menggunakan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk kepentingan dirinya dan keselesaan dirinya sendiri.

“Terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Mustafa, sehingga melakukan apa yang tidak perlu dilakukan. Mustafa membazirkan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk mengubahsuai biliknya menjadi bilik yang sangat mewah,”
katanya dalam satu forum pendedahan bertajuk Harakah Dalam Bahaya, di Gombak.

Ishak yang merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Batu turut mempersoalkan apakah kepentingan bilik yang sebegitu mewah di Ibu Pejabat Harakah kepada pengarah urusan kerana menurutnya, permulaan wang jualan akhbar Harakah adalah daripada titik peluh rakyat (ahli) khususnya.

Bukan itu sahaja, Ishak turut melahirkan kekesalannya apabila melihat pihak pengurusan Harakah gagal untuk mengurus wang tersebut dengan baik.

Menurut beliau lagi, jika wang tersebut dikendalikan dengan cara betul, sudah banyak projek-projek yang boleh dilaksanakan untuk parti PAS, malangnya perkara tersebut tidak berlaku.

“Sekiranya wang daripada hasil jualan akhbar Harakah itu digunakan dan diurus secara baik, pastinya Harakah sudah setaraf dengan media rasmi kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah PAS sendiri juga pasti mampu untuk memiliki akademi wartawannya sendiri. Tetapi kini apa yang ada?”
ujar beliau.

Selain itu, veteren PAS itu juga turut kesal apabila mendapat tahu kebajikan kakitangan akhbar Harakah tidak dijaga sebaiknya.

“Gaji kakitangan Harakah tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana perkara ini boleh berlaku, kerana kita sering bercakap soal Islam, tetapi adakah ini gambaran sebuah parti yang membawa perjuangan Islam?

“Atas perkara itu, saya kini dalam usaha untuk menubuhkan satu kesatuan sekerja dalam kalangan kakitangan pekerja akhbar Harakah,” ujarnya lagi.

Ishak secara lantang menyuarakan dan mendesak agar Mustafa meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam akhbar Harakah serta mengembalikan semula pentadbiran Harakah kepada pentadbiran asal.

“Saya mendesak supaya Mustafa Ali berundur dan saya juga yakin beliau akan berundur. Malah saya turut mengharapkan pentadbiran secara korporat dihentikan dan dikembalikan semula cara pentadbiran yang lama iaitu secara berjemaah.

“Sudah terlalu lama Mustafa berada di dalam Harakah, dan dia ingat akhbar Harakah adalah bapa dia yang punya,” ujar beliau lagi. Tidak terhenti di situ, Ishak turut menggesa agar kewangan akhbar Harakah diaudit kerana menurutnya, ia akan membolehkan akar umbi mengetahui pengaliran wang hasil jualan akhbar tersebut.

“Tetapi sehingga kini, kita tidak mengetahuinya. Macam mana nak tahu, kewangan Harakah tidak pernah diaudit walaupun perkara ini sering dibangkitkan dalam muktamar PAS,”
tambah beliau.

Menurutnya, walaupun persoalan itu dibangkitkan setiap kali muktamar berlangsung, ia hanya sampai di peringkat pertanyaan sahaja kerana tidak pernah terjawab.

Jelas Ishak lagi, beliau akan menegur mana-mana pemimpin PAS yang disifatkannya sudah lari daripada perjuangan asal PAS iaitu untuk memartabatkan Islam dan membentuk sebuah negara berkebajikan.

“Kalau Mustafa sanggup menjadi pemimpin, maka dia mesti sanggup kena tegur. Ini kerana, sebagai ahli PAS, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur pemimpin, “
tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli PAS mengenai dua perkara yang akan disoal dan dihitung iaitu sewaktu di dunia dan di akhirat kelak.

“Sewaktu di akhirat kelak, akan ditanya jika ahli-ahli PAS menegur pemimpinnya dan jika tidak ditegur, mengapakah tidak ditegur. Adakah takut jawatan akan diturunkan,” tegasnya.

Ishak yang pernah menjadi pengurus Harakah kira-kira dua tahun ketika akhbar itu mula diterbitkan pada tahun 1986 turut menyifatkan kemelut dalam pengurusan akhbar Harakah amat mencemaskan dan ia berpunca oleh perlakuan individu seperti Mustafa.

“Selagi Harakah tidak dibetulkan, kita akan terus menegur kerana kita sayang akhbar Harakah ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak pengurusan Harakah telah meminta ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua pengarang kanannya iaitu Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid. -FMT


Masalah dalaman PAS punca (Jualan) Harakah jatuh

Bekas Pengarang Harakah, Datuk Tarmizi Md Jam mendakwa punca sebenar kejatuhan jualan akhbar Harakah adalah disebabkan masalah dalaman parti yang terlalu banyak.

“Masalah merudum penjualan akhbar Harakah bukan disebabkan akhbar tersebut tidak laku tetapi puncanya adalah disebabkan segelintir pemimpin PAS yang terlalu banyak krisis sehingga gagal menyelesaikanya,” katanya pada program ‘Harakah dalam bahaya’ dan pendedahan mengapa Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mesti berundur.

Menurut beliau, dakwaan penjualan Harakah yang merupakan lidah rasmi parti merudum berpunca daripada kegagalan Ketua Pengaranganya, Ahmad Lutfi Othman seperti yang didakwa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan pihak majikan “adalah tidak benar sama sekali malah kami dijadikan kambing hitam.”

Sebaliknya Tarnizi mendakwa, punca sebenar masalah ialah ramai anak muda yang menolak PAS serta sikap permusuhan parti dengan PKR dan DAP.

“Kalau menguruskan Harakah berdasarkan pada Islam tidak ada masalah, kita selamat, tetapi apa yang berlaku sekarang walaupaun berada dalam organisasi Islam kami rasa tidak selamat.

“Malah ada pemimpin PAS yang ingin berbaik dengan UMNO cuba memburukkan Harakah, ini bukti bahawa mereka busuk hati dan menjadi penyebab jatuhnya jualan Harakah ,” katanya.


Pada masa sama Tarmizi menjelaskan, apabila berlakukan krisis antara PAS dengan rakan komponan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang lain menyebab wartawan Harakah berada dalam tekanan dan dilanda dilemma untuk membuat laporan.

“Kami dalam editorial berada dalam dilemma untuk menyiarkan berita apa. Sebagai contoh kalau nak siarkan berita Presiden PAS bantah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), sedangkan kita tidak berpisah dengan PR dan bersama dalam misi memperkukuhkan PR.

“Apa kita nak lapor dalam Harakah, kalau salah lapor akan bertentangan dengan dasar PR,”
ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pihak pengurusan Harakah lebih profesional dan membuat setiap keputusan berdasarkan perjuangan Islam seperti yang diperjuangkan parti dengan menjaga kebajikan pekerja, bukannya bertindak sesuka hati.

Tarmizi juga mendesak Mustafa mengundurkan diri sebagai Pengerusi Harakah agar akhbar tersebut terus maju ke hadapan demi memperkukuhkan PAS serta menguatkan lagi perjuangan PR.
-FMT




ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalanlah... terdedah segala pekung yang tersimpan...

Pom pang pom pang nak debat isu LBT, serang rakan-rakan dalam Pakatan ... kini Allah dedahkan rupadirinya yang sebenar.

GB dah lama tahu tapi tak berapa berani nak mendedahkan. Almaklum GB ni ahli kerdil. Tak mampu nak lakukan macam Cikgu ishak Surin dan Dato Tarmizi Mohd Jam lakukan semalam.

GB pernah menulis untuk Harakah sewaktu Harakah berpejabat di Jalan Pahang lagi. Semasa itu belum wujud Harakahdaily. Sebagai seorang ahli PAS yang komited yang mahu berita-berita PAS tersebar luas ke seluruh negara, GB menulis berita-berita untuk membuat liputan aktiiti-aktiviti PAS di negeri yang GB tinggal. Ada juga berita-berita yang jadi Headline mukadepan Harakah waktu itu. Semasa itu GB menggunakan mesintaip buruk yang dibeli sendiri... hantar berita dan tulisan ke Harakah, walaupun lansung tidak dibayar sesen. Ketika itu GB hanya berbekalkan keyakinan Allah membantu GB. GB mencari duit dengan cara menjual Harakah dan kaset-kaset ceramah. Semuanya itu sudah menjadi sejarah.

Apabila dunia berubah dengan kehadiran internet GB beralih menjadi penulis maya... GB memulakan dengan nama pena "Mahazalim". Masa itu belum ada haraakahdaily, malaysiakini, Malaysian Insider, FMT dan sebagainya. Setelah setahun, tiba-tiba GB diuji Allah dengan sakit tenat yang menyebabkan Laman Reformasi kendalian Mahazalim ketika itu terpaksa diserahkan kepada orang lain. Pengendali mahazalim selepas GB berjaya menjadi seorang YB!

Ketua Pengarang harakah Sdra Ahmad Lutfi Othman, ketika itu Ketua Pengarang DETIK ada mewawancara GB melalui email. Boleh baca: Nostalgia : Wawancara DETIK Bersama "mahazalim"

Setelah pulih dari sakit tenat, rahmat Allah s.w.t. luas dan GB dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dan alhamdulillah kini GB berblog di sini...

Berbalik kepada cerita Harakah. Jualannya merudum. Malah ranking Harakahdaily juga turut merudum. Disebarkan kempen "Satu keluarga Satu Harakah"...namun bagi GB kempen itu akan menjadi sia-sia jika tidak ada perubahan bkan saja dalam pengurusan Harakah, malah di dalam parti sendiri. Seperti kata Cikgu ishak, “bukan Harakah sahaja dalam bahaya malah PAS lebih dalam bahaya”.

Mengurus & memimpin adalah tugas dan kerja orang profesyenal. Bila tak dipimpin dan tak diurus oleh mereka yang profesyenal, jadilah sepert Harakah, jadilah seperti kerajaan PAS di Terengganu dan Kedah yang sempat diperintah cuma sepenggal... Berbeza dengan kerajaan Kelantan dibawah TGNA, berkeupayaan untuk bertahan berpenggal-penggal, sekalipun TGNA bukan dari kalangan profesyenal tetapi TGNA sentiasa meyakini dan bekerjasama dengan golongan profesyenal, tidak angkuh dan sombong seperti yang ada sekarang. Renung-renungkanlah!

GB ada hujjah yang banyak untuk menyatakan begitu, akan bersambung di kesempatan yang lain.

Tentang Mustapha Ali ni, dah lama GB suruh tukarkan. Boleh baca: Tukarkan Mustapha Ali Untuk Perlengkapkan Pimpinan Ke Putrajaya Nanti

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.