• Laporan Sinar Harian 16 Januari lalu. Laporan Sinar Harian 16 Januari lalu.
1 / 1
SHAH ALAM - Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Australia, enggan pulang ke negara ini di mana hukuman mati sedang menantinya atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam yang mewakilinya, Hasnal Rezua Merican ketika dihubungi di Sydney, Australia petang semalam memberitahu Sinar Harian, beliau baru menemui Sirul kelmarin untuk berbincang bagi mencari jalan membebaskan bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis itu dari tahanan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Sirul ada mengatakan bahawa dia tak mahu balik. Siapa pun yang ada dalam kedudukan seperti dia, mesti tak mahu balik," katanya.

Hasnal berkata, dalam pertemuan itu, mereka langsung tidak berbincang mengenai ekstradisi kerana "soal ekstradisi setakat ini belum berbangkit."

"Kami hanya berbincang bagaimana hendak bebaskan dia dari tahanan dan dia juga telah mengamanahkan kepada kami (Hasnal dan seorang lagi peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin) untuk berunding bagi pihaknya, berbincang dengan peguam-peguam di sini (Australia) mengenai perkara itu," katanya.

Hasnal dan Kamarul juga adalah peguam yang mewakili Sirul dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya di mahkamah negara ini. 
 
Selepas perbicaraan selama  bertahun-tahun, Mahkamah Persekutuan 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas anggota UTK itu bersama  seorang lagi bekas anggota UTK, Azilah Hadri atas kesalahan membunuh Altantuya di Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Klang, dekat sini antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga jam 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sirul bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah pada hari keputusan penghakiman diumumkan dan kemudian didapati telahpun berlepas ke Australia, dipercayai pada Oktober lalu.

Kehilangannya menyebabkan Polis Malaysia terpaksa mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki Sirul. Interpol kemudian mengeluarkan notis merah sebagai dokumen perisytiharan bahawa lelaki itu diburu untuk ditahan bagi tujuan diekstradisi.

Bagaimanapun dalam kes Sirul, timbul masalah apabila Australia sebagai negara yang bukan sahaja tidak mengiktiraf hukuman mati malahan juga menentang keras hukuman tersebut dijalankan dalam sistem perundangan negara lain, sebagaimana laporan akhbar Sydney Morning Herald, enggan membenarkan lelaki itu diekstradisi balik ke negara ini.

Tambahan pula dalam perjanjian ekstradisi Malaysia - Australia yang berkuatkuasa sejak 28 Disember 2006, ada dinyatakan bahawa jika permohonan ekstradisi dibuat oleh Kerajaan Malaysia melibatkan orang yang dihadapkan dengan hukuman mati, Australia tidak perlu memenuhi permohonan itu melainkan setelah kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan untuk ekstradisi dibenarkan.

Memahami sejarah daripada kes-kes yang lalu, juga kedudukan politik di negara itu, sememangnya sukar bagi Malaysia untuk mendapatkan persetujuan Australia melakukan ekstradisi ke atas Sirul.

Sebab itulah kata Hasnal, hal itu setakat ini belum lagi disentuh dalam perbincangannya bersama Sirul.

Ditanya bukankah fungsi nota merah dikeluarkan oleh Interpol adalah berkaitan dengan ekstradisi, peguam itu berkata, Sirul kini ditahan di bawah kuasa Australia.

"Apa yang kita bincangkan hanya bagaimana mahu membebaskan dia dari tahanan di sini (Australia) kerana bagi kami, dia tidak sepatutnya ditahan kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan mengikut undang-undang Australia," katanya.

Sirul ditahan di Brisbane pada 21 Januari lalu.

Dalam pada itu, Hasnal turut menyampaikan mesej Sirul bahawa dia tidak bersedia untuk berurusan apa lagi bertemu dengan mana-mana pihak dari negara ini tanpa melalui dua peguam yang mewakilinya itu.

"Dia akan buat sekatan dan akan memutuskan akses dengan sesiapa saja jika urusan itu tidak dibuat melalui kami berdua (Hasnal dan Kamarul)," katanya.